Tempoh percubaan JC maksimum dua tahun: Ketua Hakim Negara
PUTRAJAYA - Tempoh percubaan bagi pesuruhjaya kehakiman (JC) kini maksimum dua tahun dan tiada perlanjutan, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum.
"Dua tahun, jika anda tidak mencapai tahap ditetapkan, anda harus berhenti. Sebelum ini, tempoh percubaan boleh dilanjutkan. Kini, tidak lagi. Maksimum dua tahun,” katanya kepada pemberita selepas 10 pesuruhjaya kehakiman mengangkat sumpah setelah ditauliahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
Mereka ialah Datuk Rozana Ali Yusoff, 58; Abu Bakar Katar, 59; Hayatul Akmal Abdul Aziz, 57; Datuk Faizah Jamaludin, 52; Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, 55; Wong Chee Lin, 58; Darryl Goon Siew Chye, 62; Ismail Ibrahim, 57; Dean Wayne Daly, 54; dan Celestina Stuel Galid, 50.
Beliau berkata sebelum ini, JC perlu menjalani tempoh percubaan antara tiga dan enam tahun, yang dianggap agak lama.
Katanya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang dipengerusikannya, mencadangkan calon untuk dinaikkan pangkat berdasarkan kemampuan mereka untuk menulis penghakiman, pembawaan hakim itu dan penyelesaian kes mahkamah.
Enam JC ‘gagal melepasi sasaran yang ditetapkan’, kerana pada kali ini JAC amat tegas dalam membuat penilaian tersebut.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memohon maaf kepada beberapa JC yang telah menjalani tempoh percubaan lebih dua tahun, namun tidak ditauliahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.
"Maksimum dua tahun, jika anda tidak mencapai sasaran untuk menjadi hakim dalam tempoh dua tahun, maaf, sama ada anda kembali jalani amalan guaman atau bersara,” katanya.
Malanjum juga menasihati hakim supaya tidak terlalu telus sehingga memusnahkan institusi berkenaan.
"Bukanlah kita mesti bersikap tidak telus sepanjang masa. Institusi ini bertahan atas keyakinan orang ramai,” katanya.
Nasihat beliau kepada JC yang ditauliahkan sebagai hakim hari ini, adalah: "sentiasa bersikap jujur dan merendah diri. Anda tidak perlu berbangga diri hanya kerana anda seorang hakim.”
"Jika anda bersikap jujur, tiada siapa yang akan mengesyaki anda, dan sentiasalah ikuti gerak hati anda kerana naluri anda akan membawa anda ke arah kebaikan,” katanya.
Malanjum berkata hakim juga tidak boleh menyendiri, jika tidak, mereka tidak boleh bergerak seiring dengan masyarakat. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!