Penganalisis jangka ada lagi ahli politik 'katak' demi jadi calon
KOTA KINABALU - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Warisan (Warisan) bukan pertama kali berlaku dalam senario politik di Sabah.
Pensyarah Kanan Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung malah menjangkakan ada ahli politik lain akan bertindak keluar dari parti masing-masing demi untuk menjadi calon di kawasan yang diingini.
"Akan ada lagi selepas ini, akan nampak ahli politik dari mana-mana parti lain keluar parti dan tidak semestinya ADUN, mungkin yang mempunyai jawatan dalam mana-mana parti.
"Semuanya mahu jadi calon, kita perlu ingat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 terdapat 73 kerusi (DUN) tetapi ada 447 calon yang bertanding. Jadi ini sebahagian daripada dinamik politik Sabah, yang mana begitu ramai ingin menjadi wakil rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengesahkan Wetrom yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri keluar daripada Bersatu dan menyertai Warisan.
Menurutnya, perkara itu sudah dijangkakan kerana Wetron mahu menjadi calon bagi kerusi Parlimen Kota Marudu.
Bercakap lebih lanjut mengenai perkembangan gelombang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Kuok Tiung berkata, situasi ketika ini semua parti akan mengisytiharkan mereka berminat dengan sesuatu kerusi.
"Mereka akan melobi seberapa banyak kerusi yang mereka boleh menangi. Bagaimanapun kita perlu ingat adakah calon ini berkaliber atau tidak, adakah boleh menang apabila diletakkan sebagai calon.
"Seperti yang kita tahu Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada 2020 bertanding lima kerusi tetapi semua kalah termasuk hilang deposit," katanya.
Sehubungan itu, Kuok Tiung mengingatkan keperluan untuk melihat kepada kesesuaian meletak calon di sesuatu tempat.
"Kombinasinya kita tahu akan ada pembahagian GRS-BN, jadi kalau calon itu yang bukan diterima, tiada guna juga.
"Contohnya di Kota Belud, Datuk Seri Salleh Said Keruak (bekas Ketua Menteri Sabah dan ADUN Usukan) masih lagi calon yang sesuai walaupun ada pihak lain yang berminat kerusi itu," katanya.
Ditanya jika PRU kali ini melihat kepada calon sahaja, beliau berkata, ia adalah mengikut kawasan sama ada dalam bandar atau luar bandar.
"Bagi saya ikut kawasan, ikut tempat kalau macam di Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden Warisan) sudah pasti dia adalah calon tetapi kerusi di bandar seperti Kota Kinabalu letak saja logo DAP dan calonnya siapa pun kebarangkalian untuk mereka menang adalah tinggi.
"Cuma untuk PRU kali ini Warisan akan bertanding juga di kerusi bandar yang ditandingi DAP dan ini merupakan satu tekanan juga kepada DAP atau Pakatan Harapan (PH) di Sabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!