KDA FC nafi wujud isu gaji tertunggak lima bulan

Khamal Idris (tengah) semasa turun padang bertemu semua pemain pada Rabu menjelaskan tentang perancangan pasukan termasuk persiapan menjelang Piala Malaysia 2022. - Foto KDA FC
Khamal Idris (tengah) semasa turun padang bertemu semua pemain pada Rabu menjelaskan tentang perancangan pasukan termasuk persiapan menjelang Piala Malaysia 2022. - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC menjelaskan bahawa tiada tunggakan gaji melibatkan pasukan sejak kelab tersebut ditubuhkan pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, pihaknya menerima laporan sejak Rabu berkenaan isu tuduhan bahawa kelab itu menghadapi tunggakan lima bulan gaji dan dikatakan punca kepada kemerosotan prestasi dalam Liga Super baru-baru ini.

Menurutnya, dakwaan pihak-pihak tertentu yang mengatakan KDA FC menghadapi isu tunggakan gaji sehingga lima bulan adalah satu kenyataan fitnah.

"KDA FC menyarankan agar semua pihak membuat semakan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan tidak benar.

"Kelab juga akan mengenal pasti pemilik akaun media sosial dan portal yang mengeluarkan kenyataan serta memainkan isu ini.

"Tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil bagi memastikan isu ini tidak menjejaskan imej kelab di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.

Jelasnya, fakta sebenar adalah ketika musim Covid-19 melanda dunia pada tahun 2020, semua pasukan Liga Malaysia terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia menjejaskan penajaan kelab.

Menurutnya ketika itu, pasukan Kedah di bawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengalami isu tunggakan gaji selama lima bulan namun telah diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kelab tersebut akan mengambil tindakan lanjut terhadap seorang wartawan yang membuat kenyataan berbaur fitnah menerusi ciapan di Twitter kepada KDA FC pada 10 Oktober lalu.

Khamal Idris berkata, KDA FC melalui firma guaman dilantik, Farahazlinda & Co telah mengeluarkan satu notis tuntutan kenyataan fitnah bertarikh 12 Oktober kepada wartawan terbabit.

"Selepas tamat tempoh tujuh hari masa diberikan untuk melakukan demikian, tiada permohonan maaf secara bertulis diterima daripada wartawan tersebut.

"KDA FC telah mengarahkan peguam yang dilantik untuk meneruskan tindakan lanjut di mahkamah," ujar Khamal Idris.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!