Pujuk pelancong asing guna khidmat 'ulat'

JPJ menyita dua MPV jenis Toyota Voxy dan Perodua Alza yang digunakan bagi menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di KLIA 2, Sepang pada Rabu. - Foto JPJ Selangor
JPJ menyita dua MPV jenis Toyota Voxy dan Perodua Alza yang digunakan bagi menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di KLIA 2, Sepang pada Rabu. - Foto JPJ Selangor
A
A
A

SEPANG - Memujuk dan merayu antara taktik digunakan pemandu kereta sewa haram atau 'ulat' bagi mendapatkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di sini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, modus operandi itu berjaya dikesan pihaknya susulan penahanan dua pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Voxy dan Perodua Alza pada Rabu lalu.

Menurutnya, dua pemandu MPV itu ditahan ketika membawa pelancong asing ke ibu negara.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' yang menggunakan Toyota Voxy itu mengenakan kadar tambang sebanyak RM150 kepada dua pelancong India dari KLIA 2 ke Kuala Lumpur.

"Sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Alza pula dikesan mengenakan kadar tambang sebanyak RM150 kepada empat pelancong Filipina dari KLIA 2 ke Kuala Lumpur setelah sampai ke destinasi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Khairul Khar berkata, pihaknya percaya 'ulat' itu menggunakan kaedah memujuk dan merayu pelancong untuk menggunakan khidmat mereka.

Katanya, JPJ menahan kedua-dua pemandu berusia 37 dan 46 tahun terbabit selain menyita dua MPV berkenaan untuk siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan disediakan di KLIA dan KLIA 2 atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

"Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu atau pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!