SPR diminta pertimbang undi awal, pos buat mahasiswa
KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mempertimbangkan kelayakan undi awal atau undi pos kepada mahasiswa yang sedang menuntut di unversiti bagi memberikan hak serta peluang kepada mereka untuk memilih pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bekata, sebagaimana yang sudah diluluskan oleh Dewan Negara bahawa pengundi muda berusia 18 tahun dibenarkan mengundi melalui pendaftaran secara automatik berkuatkuasa pada 15 Disember tahu lalu.
Menurutnya, hak mereka sebagai pengundi muda dan pemilih berdaftar tidak boleh dipinggirkan.
"Kita sedia maklum penuntut unversiti termasuk dalam kelompok pengundi 18 tahun baharu sahaja mendaftarkan diri bagi memulakan sesi pengajian di seluruh unversiti di negara ini.
"Jadi kumpulan ini perlu diberikan kelonggaran membuang undi awal atau undi pos supaya hak mereka sebagai pemilih tidak terabai," katanya selepas menerima kunjungan hormat Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Azman Mastar di kediamanya di Luyang pada Khamis.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pelajar di unversiti sudah tentu mengalami kekangan untuk keluar mengundi kerana tinggal jauh dari tempat kelahiran dan melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi untuk balik ke kawasan masing-masing sama ada dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah serta daerah lain.
Justeru beliau berkata, pihak SPR perlu memikirkan penyelesaian seperti kategorikan mereka sebagai pengundi awal dengan memberikan ruang untuk menunaikan tanggungjawab tanpa menjejaskan pembelajaran mereka.
Penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan itu turut berkata, pelaksanaan undi pos atau undi awal bagi mahasiswa berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil kira pelbagai aspek, termasuk prosedur dan tatacara memandangkan jumlah pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini mencecah lebih 500,000 orang.
"Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan pengundi muda diberikan ruang dan keselesaan untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih bagi menentukan masa depan negara sekali gus menggalakkan peratusan keluar mengundi tinggi," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!