Tuntut lima calon wanita tanding PRU15
JERANTUT - Wanita UMNO Pahang menuntut sekurang-kurangnya lima calon wanita atau lebih diletakkan untuk bertanding sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada PRU14 lalu, dua calon wanita menjadi taruhan iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Datin Shamsiah Arshad (Bukit Ibam) yang menyaksikan kemenangan dua calon berkenaan.
Ketua Wanita negeri, Datuk Siti Hajar Mubin memberitahu, Wanita UMNO Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah membuat permohonan kepada Majlis Tertinggi supaya memenuhi kuota 30 peratus calon wanita pada PRU15.
"Ia telah dipersetujui dan diluluskan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi.
"Saya berharap kerajaan negeri Pahang memenuhi tuntutan tersebut dan meletakkan sekurang-kurangnya lima orang ataupun lebih calon wanita di Parlimen ataupun DUN," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ujar beliau, tuntutan tersebut dibuat selaras dengan Wanita UMNO Malaysia berdasarkan jasa-jasa wanita yang setia pada parti dengan berkerja kuat tidak kira waktu susah ataupun senang.
"Wanita UMNO tetap istiqamah menjalankan kerja-kerja parti tanpa mengharapkan imbuhan dan upah, segalanya dibuat dengan rela hati demi kelangsunan parti tercinta.
"Ada yang sanggup bergadai barang kemas sebab memenuhi tuntutan akar umbi yang dalam kesusahan di cawangan-cawangan sebab tiada sumber kewangan," kata beliau.
Siti Hajar yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut berkata, sudah sampai masanya wanita diberi peluang untuk bertanding atas tiket diri sendiri yang sebelum ini banyak membantu kemenangan calon bertanding pada PRU lepas.
"Sebagai Ketua Wanita UMNO Negeri Pahang, saya merayu agar pimpinan atasan negeri mempertimbangkan permohonan ini sebagai penghargaan dan pengiktirafan pada Wanita UMNO yang setia berkerja keras dan istiqamah dalam perjuangan membela nasib rakyat demi agama bangsa dan negara tercinta," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya persediaan jentera setakat ini, Siti Hajar memberitahu, ia tersusun dan lancar mengikut fasa iaitu sebelum dan selepas pembubaran, penamaan dan selepas penamaan calon, waktu berkempen 14 hari hingga hari mengundi.
"Kesiapsiagaan Wanita UMNO Pahang pada tahap 92 peratus.Insya-ALLAH dengan izin-Nya kemenangan menjadi milik BN di negeri Pahang ini dan segalanya saya serah pada ALLAH SWT," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!