[VIDEO] Kerjasama dengan Anwar, Tun M tidak kisah dituduh jilat ludah
SHAH ALAM - Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak kisah dituduh ‘menjilat semula ludah’ apabila bersetuju untuk bekerjasama dengan bekas musuh politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan BN dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu.
Beliau berkata, demi untuk menyelamatkan negara daripada terus ditadbir kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu, segala sikap ego perlu diletak ke tepi kerana perjuangan untuk bangsa dan tanah air melebihi segalanya.
Malah katanya, sifir politik ketika itu juga amat jelas, sekiranya pembangkang tidak bersatu dan bertanding di atas pentas yang sama usaha untuk menjatuhkan Najib dan konco-konconya tidak akan berjaya.
“Telah beberapa kali saya terbaca bahawa saya ini yang terhegeh-hegeh bertemu musuh apabila membuat percaturan politik. Contoh yang kerap diguna ialah bagaimana saya sanggup pergi berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai ke mahkamah sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 untuk mendapat sokongan darinya.
Ini benar, bagi saya perasaan peribadi bersikap sombong, ego kepentingan diri tidak ada tempat dengan sesuatu perjuangan terutamanya apabila terkait agama bangsa dan tanah air.
“Semasa saya pergi bertemu dengan Anwar di mahkamah, perkara utama yang ada di dalam fikiran saya ialah bagaimana cara untuk menyekat Najib dan kerajaan UMNO-BN pimpinannya daripada teruskan berkuasa.
“Ketika itu seluruh dunia melapor puluhan bilion wang rakyat dirompak dan jika kerajaan itu tidak dijatuhkan, pengkhianatan mereka (kekal) akan tersembunyi, selain mereka dapat terus menyamun,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook pada Jumaat.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, bekerjasama dengan bekas musuh ketika itu merupakan satu-satunya pilihan yang ada buatnya untuk menjatuhkan kerajaan yang telah merosakkan negara tersebut.
“Saya perlu bekerjasama dengan bekas musuh-musuh saya yang juga bersetuju perlu menyekat kejahatan tersebut, disebabkan itu saya bersedia bertemu dengan Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya.
“Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan. Orang hendak kata (saya) tidak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya kerana yang penting matlamat kita untuk menyekat orang yang merosakkan negara tercapai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!