Manfaat kelebihan pasukan Rasuah Busters

Nurhayati (depan, tiga dari kanan) bersama peserta Bengkel Penyelarasan Governan dan Fungsi Teras Unit Integriti Universiti Awam yang berlangsung di Institut Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandar Enstek.
Nurhayati (depan, tiga dari kanan) bersama peserta Bengkel Penyelarasan Governan dan Fungsi Teras Unit Integriti Universiti Awam yang berlangsung di Institut Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandar Enstek.
A
A
A

NILAI - Gelombang gerakan kempen Rasuah Busters yang berjaya memupuk rasa benci terhadap rasuah dan menyemai nilai kejujuran dalam kalangan masyarakat harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Pengerusi Biro Latihan dan Penyelidikan Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam (MPIUA), Mohd Juhari Ab Kadir berkata, pencapaian baik yang berjaya dihasilkan Rasuah Busters dalam mendekati seluruh lapisan masyarakat bagi menyebar luas kesedaran antirasuah adalah tindakan terpuji yang perlu diberi sokongan oleh semua pihak.

Beliau yang juga Ketua Unit Integriti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, momentum cemerlang gerakan yang mempunyai 600 rakan gabungan dalam melaungkan bahaya budaya rasuah dan salah guna kuasa harus dipertingkatkan dari masa ke masa.

Mohd Juhari
Mohd Juhari

Katanya, sudah tiba masanya untuk semua pihak bergabung tenaga memerangi budaya rasuah yang telah menapak di seluruh sektor pekerjaan sama ada di pihak kerajaan dan sektor swasta sekian lama.

"Budaya memberi dan menerima rasuah serta salah guna kuasa telah membarah dalam kehidupan seharian kita untuk sekian lamanya.

"Maka usaha memerangi dan memutuskan rantaian budaya jijik ini perlu dipertingkatkan bagi menyelamatkan masa depan negara serta memastikan kehidupan lebih baik buat generasi akan datang.

"Gelombang Rasuah Busters membanteras dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat perlu disokong serta dijayakan oleh semua pihak agar ia menjadi langkah terbaik membantu negara mengatasi masalah ketirisan," katanya kepada kru Rasuah Busters.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa penganjuran Bengkel Penyelarasan Governan dan Fungsi Teras Unit Integriti Universiti Awam di Institut Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bandar Enstek, dekat sini.

Sesi taklimat pasukan Rasuah Busters untuk bengkel tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Sementara itu, Biro Tugas-Tugas Khas MPIUA, Mohd Faizal Ibrahim berkata, kesudian Rasuah Busters untuk bersama pada Bengkel Penyelarasan Governan dan Fungsi Teras Unit Integriti Universiti Awam dilihat sebagai satu langkah tepat untuk memantapkan lagi ahli majlis itu berhubung isu integriti.

Mohd Faizal
Mohd Faizal

Beliau yang juga Ketua Seksyen Integriti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, bukan sahaja dapat berkongsi idea dan input penting berhubung rasuah serta salah guna kuasa, sesi bersama Rasuah Busters mampu diteruskan untuk program-program bersama pada masa depan demi kebaikan masyarakat.

Jelasnya lagi, kerjasama tersebut bakal memberi manfaat besar kepada seluruh mahasiswa dan warga petugas kampus di negara ini.

"Usaha murni ini penting dalam memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada orang ramai terutama golongan muda dan mahasiswa tentang bahaya rasuah dan salah guna kuasa.

"Elemen kejujuran, amanah serta berintegriti perlu dimantapkan dalam kalangan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka.

"Ini kerana mahasiswa adalah kumpulan pemimpin negara pada masa hadapan, maka golongan ini sewajarnya diberi perhatian penuh untuk bebas daripada amalan rasuah dan mempunyai integriti tinggi memimpin negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!