Pengalaman banjir PRK Tenang jadi panduan kendali PRU15
JOHOR BAHRU - Pengalaman berdepan banjir ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 2011 sedikit sebanyak boleh dijadikan panduan dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya banjir berlaku, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Beliau berkata, kerajaan Johor telah melakukan pelbagai persediaan sewajarnya termasuk mengadakan latihan simulasi bencana banjir baru-baru ini berdasarkan pengalaman tersebut bagi menghadapi PRU15 akan datang.
"Johor pernah mempunyai pengalaman melaksanakan pilihan raya dalam keadaan banjir iaitu ketika PRK DUN Tenang yang airnya naik hingga paras lutut tetapi pada ketika itu ia tidak sampai memerlukan pusat mengundi di kawasan tersebut ditutup.
"Proses mengundi tetap diteruskan dan berjalan seperti biasa, namun kita akui perkara ini antara cabaran yang kita bakal hadapi khususnya di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Writ Kepada 26 Pegawai Pengurus PRU15 Johor dan Penyampaian Amanat di sini.
PRK DUN Tenang pada 30 Jan 2011 diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember 2010 akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.
Sementara itu, Azmi berkata, kerajaan negeri akan menyediakan beberapa trak yang bersesuaian bagi melancarkan proses pilihan raya itu berlangsung jika bencana berlaku dalam tempoh itu.
"Contohnya, apabila peralatan atau kertas mengundi hendak dibawa ke pusat mengundi, sekiranya kawasan pusat mengundi itu berlaku banjir, kita akan sediakan trak yang sesuai dan pastinya pusat mengundi itu dibuka tepat pada 8 pagi.
"Sekiranya ada halangan dan terdapat perkara-perkara yang tidak mengizinkan... kita minta pegawai pengurus berhubung terus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat keputusan," katanya.
Pada Khamis, SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15, manakala hari penamaan calon 5 November dan pengundian awal 15 November ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!