Samsudin pemimpin berdedikasi sepanjang karier politik
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Allahyarham Datuk Samsudin Yahya sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi sepanjang berkhidmat kepada rakyat.
Beliau dalam satu kenyataannya mengucapkan takziah dan berharap agar seluruh ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian.
"Bagi pihak keluarga dan kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada Datin Junaidah Aji dan keluarga atas kehilangan Allahyarham yang tersayang.
Datuk Samsudin adalah pemimpin yang berdedikasi, kawan baik serta telah banyak menyumbang kepada negeri dan negara serta rakyat di kawasannya sepanjang karier politiknya.
"Marilah kita sama-sama panjatkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya pada pada Jumaat.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, Samsudin, 67, meninggal dunia ketika dalam penerbangan ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur, pada petang Khamis.
Difahamkan, Allahyarham tidak sedarkan diri ketika dalam penerbangan berkenaan sebelum pesawat terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur.
Allahyarham sebelum ini pernah menyandang sebagai ADUN Sekong selama empat penggal sejak 2004.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!