Rezeki Damok diumum sertai MTHelmets-MSi
KHABAR gembira buat pelumba negara, Syarifuddin Azman pada hari pertama Grand Prix (GP) Malaysia 2022 di Sepang pada Jumaat apabila diumumkan untuk menyertai pasukan MTHelmets-MSi di Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan.
Sebelum ini Syarifuddin atau terkenal dengan jolokan Damok masih berteka-teki dengan penyertaan sulungnya dalam kelas Moto3 pada perlumbaan berprestij itu selepas tiga tahun menyertai Kejuaraan Dunia JuniorGP.
“Ia satu mimpi yang menjadi kenyataan apabila dapat membuat penampilan sulung di Kejuaraan Dunia Moto3 bersama pasukan MTHelmets-MSi," kata Damok menerusi satu kenyataan di Instagram rasmi pasukan.
Ketika berbaki satu pusingan dalam saingan JuniorGP musim ini, Damok sudah mengumpul 110 mata untuk berada di tangga keempat keseluruhan.
Dia masih berpeluang untuk menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tempat kedua pada saingan kemuncak di Valencia hujung bulan ini.
“Saya melalui musim yang baik di Kejuaraan Dunia JuniorGP tahun ini dan sudah bersedia untuk bertarung di Kejuaraan Dunia Moto3. Saya pasti ini adalah satu peringkat baharu selain menambahkan lagi pengalaman dalam karier.
“Ia juga dapat membantu saya untuk lebih matang sebagai seorang pelumba bersama pasukan ini. Terima kasih kepada semua atas sokongan diberikan. Saya sangat bermotivasi untuk musim 2023,” katanya.
Bagi saingan musim depan, Damok bakal bersama rakan sepasukan dari Brazil, Diogo Moreira.
Dalam pada itu, prinsipal pasukan, Teo Martin sangat gembira apabila dapat menandatangani Syarifuddin untuk musim 2023 kerana dia seorang pelumba yang dapat membawa potensi bersama pasukan.
“Diogo dan Syarifuddin akan menjadi satu pasukan yang baik dan bersama dengan kami bagi membentuk satu struktur yang sangat kuat untuk masa depan,” katanya.
Dalam saingan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang kali ini, Damok beraksi menerusi tiket wildcard bersama pasukan Vision Track Racing.
Turut memeriahkan GP Malaysia adalah tiga pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin, Azroy Hakeem Anuar dan Khairul Idham Pawi yang menyertai pasukan Petronas Mie Racing atas tiket wildcard.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!