Singkir Husam umpama beri kemenangan percuma kepada Pas

Husam Musa
Husam Musa
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan 'menyingkirkan' Datuk Husam Musa sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Kota Bharu dilihat seolah-olah memberi kemenangan percuma kepada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Aktivis Save Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, Husam yang juga Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kota Bharu, merupakan calon PH tunggal kawasan Parlimen di negeri ini yang tidak hilang wang pertaruhan pada PRU14 lalu.

"Malah beliau (Husam) memberikan tentangan sengit kepada calon Pas iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menang kerusi Parlimen Kota Bharu pada PRU14.

"PRU14 lalu, Takiyuddin menang dengan majoriti 5,869 undi sahaja. Saya yakin dan percaya jika Husam terus diberikan kepercayaan, berkemungkinan besar Kota Bharu mampu menjadi salah satu penyumbang kepada kemenangan PH di peringkat pusat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau yang lebih dikenali Syam Ghaz berkata, Save Kelantan hairan bagaimana seorang 'pejuang' yang disegani oleh lawan tidak diberikan peluang untuk bertanding di Parlimen Kota Bharu.

Beliau berharap pucuk pimpinan tertinggi PH dan Amanah dapat menimbang semula kedudukan Husam untuk bertanding pada PRU15 nanti di mana-mana kerusi Parlimen di negara ini.

Katanya, adalah satu kerugian tokoh yang mempunyai kredibiliti itu tidak diberikan peluang untuk menyumbang kepada rakyat dan pembangunan negara.

Sebelum itu Mohd Hisyamuddin memuat naik satu hantaran yang mendedahkan Husam tidak dicalonkan untuk mewakili PH di Parlimen Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

Situasi itu telah menimbulkan pelbagai polimek dalam kalangan penyokong Amanah di negeri ini yang mahu Husam kekal bertanding di Kota Bharu.

Sementara itu, Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Anual Bakri Haron menyifatkan satu kesilapan dalam perhitungan strategik Amanah di Kelantan jika menggugurkan Husam yang merupakan 'winnable candidate' atau calon boleh menang.

Anual Bakri menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya pada Jumaat berkata, berpandukan kepada majoriti penyokong dan pemerhati yang mengikuti perkembangan semasa, Husam lebih dari cukup untuk sebuah merit bergelar sebagai calon wakil rakyat.

"Mustahil setumpul itu pemikiran pucuk pimpinan di semua peringkat dalam menimbang? Saya akui tidak reti sangat politik walau pernah 10 tahun menjawat jawatan sebagai setiausaha politik, namun jika masihlah ada ruang, bermenung dan bermuhasabah.

"Saya fikir inilah masanya. Hari penamaan calon pun, secara relatifnya masih jauh. Masa masih ada untuk undur dan kemungkinan berbuat sesuatu. Gerakan Save Kelantan terlalu sinonim dengan Husam Musa. Beliau telah berbuat sesuatu yang cukup signifikan dalam rangka meletakkan latar.

"Saya berani bertegas yang dialah faktor pembuka mata dan pencetus gelora kesedaran terawal, yang terpenting dan terkini di Kelantan di musim ini. Bahkan pada saya, Amanah Kelantan sedang menumpang tuah daripada hasil gelombang ini. Alangkah besarnya lonjakan yang mampu dilakukan jika Husam Musa kembali diletakkan semula, 're- instate' sebagai calon," ujarnya.

Anual Bakri berkata, pandangan yang dilontarkan itu tidak mempunyai kepentingan dan hanya mahu melihat Kelantan yang berubah.

"Kelantan yang diselamatkan dan Kelantan yang lebih dinamik dan lebih maju post-PRU," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!