Karier politik Anwar bakal berkubur di Tambun
IPOH - Pemuda BN Tambun menyifatkan rancangan Pakatan Harapan (PH) meletakkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai usaha menguburkan karier politik pemimpin pembangkang itu.
Ketuanya, Faridzul Azlan Abd Shani berkata, kehadiran Anwar di kawasan Parlimen Tambun merupakan perangkap yang sengaja dipasang untuk menggagalkan kemaraan bekas Ahli Parlimen Port Dickson itu.
Jelas beliau, Pemuda BN Tambun tidak gentar kerana mereka sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja yang akan bertanding di kerusi Parlimen itu, termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan DUN Hulu Kinta.
Kami yakin pengundi di Tambun bijaksana dalam menilai calon yang layak untuk mewakili mereka dan pastinya akan memilih calon BN yang benar-benar akan dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran buat mereka semua.
"Kami mengajak seluruh pengundi di Tambun untuk menolak calon lompat kawasan seperti Anwar yang bukan hanya tidak setia pada rakyat yang diwakilinya, malah hanya bertanding demi kepentingan politik peribadi bukannya untuk berbakti kepada rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, segala gerak kerja yang telah diterjemahkan oleh Pemuda BN Tambun akan memenangkan calon-calon BN di dalam kerusi Parlimen Tambun.
Pada PRU14, BN yang diwakili Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah tewas di kerusi Parlimen itu apabila gagal mengatasi calon PH, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menang dengan majoriti 5,320 undi.
Pada malam Khamis, Anwar yang juga Ketua Pembangkang, mengumumkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 ini.
Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri ketika menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Harapan 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!