Pemimpin berintegriti selesai kemelut negara
SHAH ALAM - Nilai integriti dalam kalangan pemimpin amat diperlukan bagi pembentukan sebuah negara bahagia, aman makmur dan sejahtera.
Menurut teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), integriti berlandaskan nilai-nilai Islam yang berpaksikan kepada kekuatan akidah, syariah dan akhlak adalah penyelesaian terbaik kepada kerosakan dan kemelut yang berlaku dalam diri, organisasi dan negara.
Inti pati khutbah bertajuk 'pemimpin dan negara' itu menjelaskan, nilai amanah dan ikhlas seseorang pemimpin itu akan membentuk dan melahirkan dasar negara yang mampu mendukung kepentingan rakyat dan pembangunan negara seimbang di sudut spiritual dan fizikal.
"Sebaliknya pemimpin yang hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia akan menjadi perosak dan pengkhianat kepada rakyat dan negara.
"Banyak paparan kisah yang mencerminkan kejujuran para nabi dan rasul yang dapat kita teladani dan contohi daripada perjalanan hidup mereka," jelas khutbah Jumaat itu.
Justeru, khutbah itu memberitahu, pemimpin berintegriti mampu menjadikan negara diurus dengan teratur dan dihormati serta mampu mewariskan legasi terbaik untuk masa depan.
"Pemimpin perlu mempunyai sikap dan menampilkan norma dan piawaian tingkah laku terbaik.
"Pemimpin berintegriti, jujur dan beramanah bukan sahaja akan mengubah landskap dan ekosistem kehidupan bermasyarakat, bahkan memacu negara untuk mencapai matlamat telah dirangka agar menjadi sebuah negara mampan, stabil, dihormati dan beridentiti," menurut khutbah itu.
Inti pati khutbah itu memberitahu, pemimpin berintegriti juga dapat mengelakkan negara daripada perkara tidak diingini seperti kemunafikan, penuh dengan isu dan kontroversi salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah, pengkhianatan serta adu domba yang merosakkan penjanaan keutuhan dan perpaduan bangsa serta negara.
"Integriti adalah kepatuhan kepada prinsip-prinsip beragama, nilai dan norma sejagat dan etika yang kuat," jelas khutbah itu.
Menurut khutbah itu, junjungan besar Muhammad SAW diangkat menjadi ikon hamba ALLAH berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran 'al - Amin' (sangat dipercayai) dalam kalangan masyarakat Islam ketika itu.
"Empat nilai keperibadian dan sifat terpuji Rasulullah S.A.W yang mendokong maksud serta menjadi teras kepada nilai integriti iaitu Siddiq (berkata benar), Amanah ( dipercayai ), Tabligh (menyampaikan), Fatanah (bijaksana)," ujar khutbah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!