APM laksana Arahan Wajib Pindah hadapi Monsun Timur Laut
SHAH ALAM - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan melaksanakan Arahan Wajib Pindah di bawah Seksyen 4C Akta APM 1951 (Akta 221) menjelang peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda pada pertengahan November sehingga Mac 2023.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr Norhafifi Ismail berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan ramai orang awam yang enggan berpindah dan tidak mematuhi arahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) semasa MTL hujung tahun lalu.
"MTL kali ini diramal membawa taburan hujan yang lebih banyak dengan jangkaan banyak negeri akan terkesan berbanding tahun lalu sekali gus memberikan lebih ancaman," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Norhafifi berkata, mengambil kira risiko berkenaan, Pasukan Petugas Khas MTL yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara 17 Oktober lalu telah bersetuju mengeluarkan arahan berkenaan.
"Arahan itu bukan sahaja kepada mangsa terkesan banjir tetapi juga kepada mana-mana individu dalam sebarang situasi kecemasan, krisis, darurat dan bencana lain.
"Peruntukan kuasa di bawah Akta 221 menjelaskan kuasa oleh pegawai dan anggota APM untuk mengarahkan pengungsian mana-mana kawasan dan premis termasuk menahan, memindah serta menyebabkan dipindahkan mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan untuk berpindah," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa penggunaan kuasa berkenaan akan dilakukan secara berhemah dan memohon orang ramai supaya mematuhi setiap arahan diberikan semasa bencana.
Katanya, APM dan semua agensi pengurusan bencana terbabit akan mengambil tindakan proaktif dan bekerjasama bersama masyarakat bagi memastikan keselamatan komuniti terjamin.
"APM juga memohon agar orang ramai sentiasa bertenang, tidak panik dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri serta sentiasa mengikuti perkembangan semasa dengan mendapatkan informasi yang sahih," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!