Jenazah bekas ADUN Sekong selamat dikebumikan
SANDAKAN - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya, yang meninggal dunia dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu petang semalam, selamat dikebumikan di sini petang tadi.
Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Sandakan kira-kira 1.30 tengah hari dengan penerbangan dari Kuala Lumpur dan dibawa ke rumahnya di sini sejurus tiba.
Jenazah kemudiannya disolatkan di Masjid Jannatun Na'im sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Sungai Kayu, Batu 7 dekat sini, kira-kira 3.35 petang tadi.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
Anak bongsu Samsudin, Mohd Zharif Aizat berkata, bapanya akan sentiasa dikenang sebagai seorang yang tidak pernah jemu membantu masyarakat, khususnya di Batu Sapi, meskipun tidak lagi berkhidmat sebagai wakil rakyat.
"Arwah ayah saya membangunkan dan banyak membantu orang di Batu Sapi sehingga meninggal dunia. Setiap kali ada orang meninggal atau apa-apa majlis atau memerlukan perhatian, dia pasti akan datang.
"Ada tadi di masjid bertemu seorang saudara yang anaknya dibantu oleh arwah ayah saya sehingga melanjutkan pelajaran di Mesir. Saya baru tahu perkara itu, jadi saya amat bersyukur, alhamdulillah," katanya.
Mohd Zharif Aizat berkata, bapanya dipercayai mengalami serangan jantung berdasarkan sejarah perubatannya yang kerap mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap agar seluruh ahli keluarganya tabah menghadapi ujian tersebut.
"Datuk Samsudin adalah pemimpin yang berdedikasi dan juga kawan baik serta telah banyak menyumbang kepada negeri dan negara serta rakyat di kawasannya sepanjang karier politiknya,” katanya dalam kenyataannya di sini.
Samsudin, 67, dipilih sebagai ADUN Sekong selama empat penggal sejak 2004 selepas memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional dan juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi bagi penggal 2013-2016.
Allahyarham meninggalkan isteri Datin Junaidah Aji dan empat anak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!