Gabungan pemain muda galas cabaran negara

Vikneswaran (kanan) bersama pengurus skuad India, Mohd Intekhab Alam.
Vikneswaran (kanan) bersama pengurus skuad India, Mohd Intekhab Alam.
A
A
A

GABUNGAN pemain muda daripada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dan Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2022 diharap mampu membawa cabaran negara apabila berdepan India pada aksi pembukaan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2022 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru pada Sabtu.

Menurut pengurus skuad negara, I Vikneswaran, biarpun bakal berdepan pasukan handalan seperti India, namun yang penting adalah persiapan pasukan negara bagi mengharungi perlawanan berkenaan.

"India pasukan kuat terutamanya bagi skuad senior mereka dari segi ranking (kelima dunia).

"Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah bagaimana persiapan kita dan jangan gentar.

"Tak kira siapa pun, kita boleh kalahkan...yang penting adalah bagaimana persiapan diri kita,(pasukan)," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Selain India, skuad negara bakal berdepan Australia pada 23 Oktober, Afrika Selatan (24 Oktober), Great Britain (26 Oktober) dan Jepun pada 28 Oktober.

Sejak diperkenalkan pada 2011 lalu, SOJC tidak dapat dianjurkan pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik Covid-19.

Untuk rekod, skuad negara tumpas 1-2 pada aksi persahabtan berdepan juara bertahan, Great Britain selain tewas 4-5 kepada lawan sama menerusi simulasi, penalty shootout.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Vikneswaran berkata, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki skuad negara berdasarkan kepada dua aksi persahabatan berkenaan.

"SOJC dilihat sebagai antara medan persiapan terbaik bagi skuad hoki muda negara menjelang Kejohanan Hoki Remaja Dunia, yang bakal berlangsung Disember 2023 kelak.

"Ada banyak perkara yang perlu kita perbaiki namun apa yang penting kita nak tengok (persiapan kita) pada Piala Dunia (remaja) tahun depan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki, Bukit Jalil," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!