Talian HEAL 15555 tawar sokongan mental mula beroperasi
CYBERJAYA - Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555 yang menawarkan bantuan sokongan mental mula beroperasi mulai Jumaat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, talian itu yang dikendalikan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) dibuka setiap hari termasuk cuti umum bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.
"Siapa saja yang ada masalah kesihatan mental, tekanan, gelisah, kesedihan, kemurungan, bersendirian, mula berfikiran negatif mengenai kehidupan atau dia rasa perlukan sokongan mental, boleh hubungi talian ini," katanya.
Menurutnya, perkataan HEAL bermaksud 'Help with Empathy and Love' diharap dapat menggalakkan individu masalah kesihatan mental tampil mendapatkan bantuan awal bagi mencegah permasalahan tersebut menjadi lebih serius.
"Saya tengok kaunselor yang menjadi operator panggilan talian ini begitu baik melayan panggilan dengan menggunakan pendekatan sangat tersusun supaya dapat mengesan emosi pemanggil," katanya.
Beliau berkata, operator juga turut dilatih untuk menenangkan pemanggil sebelum merujuk kepada talian kecemasan 999 sekiranya perlu.
"Saya nampak ini suatu usaha yang sangat baik," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan NCEMH, di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Menteri I, Datuk Dr Noor Azmi Mohd Ghazali, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Harjeet Singh dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli.
Mengulas mengenai NCEMH, Khairy berkata, penubuhan itu dapat meminimumkan jurang perkhidmatan dan mempertingkatkan perkongsian sumber kepakaran kesihatan mental melalui gabungan pakar melalui pendekatan bio-psikososial dan juga aspek spiritual.
Pusat ini lebih kepada penyelidikan, intervensi dan juga penyelarasan di kalangan semua pemegang taruh terlibat dalam kesihatan mental.
"Pusat ini bertanggungjawab untuk latihan, terutamanya latihan bagi kaunselor yang akan kelapangan, komuniti, penjaga pesakit dan pesakit kesihatan mental," katanya.
Ujar Khairy, pusat Kecemerlangan ini juga akan menjadi pusat rujukan setempat dan latihan termasuk proses akreditasi dan credentialing program kesihatan mental.
"NCEMH juga akan menjadi satu platform untuk mempertingkatkan kolaborasi strategik dengan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam merancang dan melaksanaka aktiviti promosi dan pencegahan, terutamanya dari segi aspek sosial dan rehabilitasi untuk kumpulan sasar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!