Kapal perang AS tiba di KK untuk lawatan persahabatan
KOTA KINABALU - Kapal pemusnah daripada Kelas Arleigh Burke ke-19 Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS Milius tiba di sini untuk lawatan empat hari dalam usaha menjalin persahabatan dengan rakyat Malaysia.
Pegawai pemerintah USS Milius, Komander Matthew Hays berkata, kapal perang sepanjang 154.9 meter itu tiba pagi tadi selepas sebulan belayar dari pangkalannya di pantai Jepun.
"Kami gembira dapat tiba sini sekali gus meraikan 65 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Kami akan berada di sini untuk lawatan dan meluangkan masa dengan rakyat Malaysia.
"Terdapat 300 kru pelbagai pangkat di dalam kapal ini dan Kota Kinabalu sebuah pelabuhan yang hebat untuk dikunjungi, selain dapat mengenali budaya dan bertemu masyarakat di sini,” katanya kepada pemberita ketika lawatan media ke kapal berkenaan di sini hari ini.
Hays berkata, ini merupakan pertama kali beliau tiba di sini meskipun pernah sampai ke Pelabuhan Klang, Selangor sebelum ini, manakala bagi kebanyakan kru ia juga kunjungan pertama mereka ke Malaysia.
"Setiap orang (kru) perlu mengambil peluang menerokai bandar raya ini (Kota Kinabalu), tetapi banyak lagi perkara yang perlu dilakukan di kapal. Selepas semua selesai kami akan turun ke bandar dan bertemu orang ramai,” kata Hays.
Kru kapal berkenaan juga dijadual melawat sebuah sekolah di sini untuk sesi ramah-mesra dan aktiviti lain, esok.
USS Milius ditauliahkan pada 23 November 1996 dan dinamakan sebagai penghormatan kepada seorang anggota tentera laut, Kapten Paul Lloyd Milius atas tindakan beraninya menyelamatkan nyawa tujuh rakyat AS di Laos ketika Perang Vietnam, meskipun segala usaha telah dilakukan mayat beliau tidak ditemui dan dianggap terbunuh dalam perang pada 2 April 1978.
Dalam pada itu, sebagai kapal yang berkupayaan melakukan pelbagai misi, USS Milius direka bentuk untuk melaksanakan peperangan antiudara, antikapal selam, permukaan dan serangan secara serentak, selain menjadi platform pertahanan peluru berpandu balistik yang mampu memberikan perlindungan menerusi keupayaanya mengesan, menjejak dan menggunakan peluru berpandu balistik.
USS Milius dibina berdasarkan sistem tempur Aegis dan radar tatasusunan berperingkat pelbagai fungsi SPY-1D, dengan peluru berpandu yang menyediakan keupayaan serangan dan pertahanan berbilang misi untuk menyokong strategi keselamatan maritim AS. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!