Belum ada niat henti bertanding: Ahmad Zahid
HULU TERENGGANU - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak spekulasi mengatakan beliau tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak tahu bagaimana dakwaan tersebut boleh timbul dan dari mana sumber kenyataan berkenaan diambil.
"Saya belum terniat untuk lakukan sedemikian (henti bertanding)," katanya ketika ditemui media selepas Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera BN PRU15 di Dewan ABM Jenagor, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Jelas beliau yang juga Pengerusi BN, apa yang penting sekarang adalah BN mahu mengetengahkan calon yang boleh memberi kemenangan dalam PRU15 nanti bagi membentuk sebuah kerajaan stabil di Putrajaya.
"Ini termasuklah azam kita untuk memperoleh 70 peratus muka baharu yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri-negeri yang sudah dibubarkan," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Ahmad Zahid tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU15).
Sinar Harian difahamkan tempat beliau akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurul Hidayah atau pun orang kanan beliau sendiri.
Pemimpin berusia 69 tahun itu membuat keputusan besar tersebut sebagai satu pengorbanan agar nama dan isu yang menyelubungi dirinya tidak dijadikan modal kempen lawan dalam PRU15 yang telah pun ditetapkan pada 19 November ini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Langkah itu sekali gus menjawab teka-teki berhubung sokongan penuh UMNO-UMNO Bahagian kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri jika BN ditakdirkan menang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!