Gabungan parti tonjol calon PM strategi pancing pengundi
Setakat ini, beberapa parti dan gabungan politik telah menamakan calon perdana menteri masing-masing yang dianggap 'menyengat' dan berpengalaman.
Antaranya BN, mengangkat nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pakatan Harapan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Perikatan Nasional (Tan Sri Muhyiddin Yassin), serta Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan bersedia untuk kembali dilantik menjadi perdana menteri buat kali ketiga, sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain bersesuaian.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P Sivamurugan berkata, pengumuman calon perdana menteri oleh parti politik adalah indikator penting bagi menarik sokongan terutamanya pengundi atas pagar, apa lagi jika calon yang dipilih itu merupakan individu yang mempunyai personaliti dan reputasi tinggi.
Beliau berkata, dengan mengumumkan nama calon perdana menteri juga, ia secara tidak langsung dapat mengelakkan wujudnya persepsi negatif dan menangkis bahawa parti politik itu tidak mempunyai hala tuju selepas menang PRU15.
"Ia penting supaya memberi keyakinan dan kepercayaan kepada pengundi, misalnya BN berulang kali mengatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon perdana menteri mereka kerana ada pihak yang cuba mempengaruhi persepsi dengan mengatakan calon perdana menteri adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, walaupun beliau telah nafikan, namun ia tetap dijadikan bahan.
"Saya melihat kepentingan untuk menamakan seseorang calon adalah supaya ia tidak disalahgunakan mengikut tafsiran parti lawan yang mungkin boleh meruntuhkan moral dan kredibiliti parti jika tidak dinamakan, malahan apabila tidak dinamakan (calon perdana menteri) akan wujud kempen seolah-olah akan ada masalah selepas pilihan raya untuk melantik pengemudi kerajaan," katanya kepada Bernama.
Sivamurugan berkata, walaupun calon sudah ditetapkan, namun kuasa melantik seorang perdana menteri masih tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.
"Ini bermakna walaupun ada pencalonan perdana menteri namun selagi tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka tidak boleh kita katakan sudah dilantik...ia sekadar menjadi paparan untuk kempen PRU dan aturan kepada pengundi," katanya.
Seorang lagi penganalisis politik, Prof Datuk Dr Nasrudin Mohamed berpendapat, langkah mengumumkan calon perdana menteri mampu memberikan `gegaran’ kepada parti pesaing untuk segera berkongsi atau turut sama mengumumkan nama calon pilihan.
"Saya setuju itu antara strategi parti politik untuk memancing undi tetapi ada agenda yang lebih khusus mereka berbuat demikian iaitu untuk menunjukkan mereka bersedia menghadapi `peperangan’ PRU15.
"Selain itu, dengan cara mengumumkan calon perdana menteri dapat memberi isyarat kepada pengundi bahawa pemimpin dan parti politik itu mempunyai keyakinan untuk menang pilihan raya," katanya.
Dr Nasrudin berkata, parti politik akan meletakkan nama calon yang dirasakan mampu memikat hati pengundi walaupun ia bukan jaminan yang individu tersebut akan dipilih mentadbir kerajaan kelak, yang mungkin disebabkan oleh faktor luar kawalan.
Bagi Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, langkah parti politik mengumumkan calon perdana menteri sebelum masa berkempen adalah untuk menarik pengundi dengan memberikan keyakinan tokoh-tokoh yang ditonjolkan.
"Malah pengundi boleh membanding-bandingkan calon tersebut untuk dibuat penilaian yang kritis sebelum membuat keputusan, khususnya pengundi atas pagar dan pengundi muda.
"Ia juga penting bagi parti politik melonjakkan sokongan khususnya bagi jentera berkempen dengan lebih yakin,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian PRU15 manakala tarikh penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!