Lemas kerana hal yang kecil
BARU-BARU ini tayar kereta saya pancit terlanggar paku di NKVE. Oleh kerana lebuh raya begitu sibuk pada pagi hari dan suasana masih gelap, saya tak berani menukar tayar.
Lalu, saya meminta bantuan Plus Ronda. Niat di hati, kalau mereka cepat datang membantu, tentu saya seronok. Tapi kalau mereka ambil masa untuk tiba ke lokasi saya kerana lebuh raya yang jem, biarlah saya tukar sendiri bila hari terang.
Alhamdulillah, mereka datang tak sampai 10 minit kemudian. Wah, empat orang anak muda yang bertugas keluar dari kereta mereka.
Dengan pantas mereka melakukan tugas. Seorang, mengambil tayar ganti dari bonet kereta saya, seorang lagi membuka tayar yang pancit, seorang menaikkan jek dan seorang lagi mengawal lalu-lintas.
Melihat kepantasan mereka bekerja, saya perasan seperti menjadi pemandu grand prix yang berhenti di pit stop! Tidak sampai lima minit, semuanya selesai dan saya sudah menghidupkan enjin.
Perkhidmatan mereka percuma dan saya sempat mengucapkan terima kasih kepada mereka.
Dalam pada itu, sempat juga saya bertanya mengapa mereka datang berempat Sepatutnya dua orang sahaja dalam sebuah kenderaan Plus Ronda. Bukankah itu membazir tenaga manusia?
Sambil tersenyum, si pemandu memaklumkan yang kereta salah seorang daripada mereka rosak di stesen minyak di hadapan.
Tidak lama kemudian saya bersarapan dahulu di sebuah restoran sementara menunggu mekanik menukar tayar di bengkel kawan saya yang berhampiran. Hati ini bernyanyi-nyanyi kerana walaupun tayar kereta pancit, saya mendapat bantuan segera daripada pasukan Plus Ronda. ALLAH SWT memberi saya masalah tetapi memudahkan saya menyelesaikannya.
Tetapi gembira saya setakat itu sahajalah kerana tidak sangka menerima khabar yang tidak menyeronokkan pula daripada petugas bengkel.
Dia datang sendiri ke restoran untuk mengajak saya kembali ke bengkel. Katanya, selain tayar yang tak boleh ditampal, ada beberapa alat lain yang perlu diganti!
Setibanya di bengkel, petugas itu menunjukkan kepada saya bahagian brek kereta. Katanya, keempat-empat getah brek perlu diganti kerana sudah menipis.
Piring pada tayar sudah kasar dan perlu juga diganti. Katanya lagi keempat-empat tayar kereta saya juga perlu ditukar kerana bunganya sudah menipis.
Bingung seketika. Seingat saya, tuan punya bengkel itu sendiri pernah melihat keadaan kenderaan saya dua minggu sebelum itu.
Katanya, keadaan tayar kereta saya masih boleh digunakan untuk dua bulan lagi sebelum ia perlu diganti.
Dan saya tahu keadaan getah brek. Pergerakan kereta saya molek sahaja dan tidak bising pun tatkala membrek. Maknanya, getah breknya masih boleh digunakan. Mana satu yang betul? Kata-kata siapa yang saya hendak ikut?
Mujurlah tak lama kemudian, tuan punya bengkel sampai dan ingat apa yang dia katakan mengenai keadaan tayar dan brek kereta saya.
Dia memberi jaminan yang saya tidak perlu tukar apa-apa kecuali tayar yang pancit itu kerana sudah tidak boleh digunakan. Kes selesai, hati saya lega.
Dari semasa ke semasa, kita akan temui mereka yang hanya nampak impak maksimum kepada perkara yang kecil. Kita temui mereka yang bukannya berpandangan jauh, tetapi berpandangan malang.
Pening kepala akibat terkena hujan panas dikatanya migrain, menghidap batuk kerana tekak kering dikatanya terkena barah kerongkong, sakit pinggang kerana salah tidur dikatakan terkena penyakit buah pinggang.
Ya, kita akan temui mereka yang nampak masalah ekstrem apabila terjadi masalah kecil. Daun yang gugur menyentuh kepala pun dirasakan seperti batu besar menghempap hingga otaknya cedera.
Perkara-perkara yang kecil terjadi pada dirinya sudah cukup melemaskan kerana dia besar-besarkan masalah kecil itu hingga dia sendiri sesak nafas, rimas dan akhirnya lemas dengan masalah itu.
Sebaik-baiknya apabila terjadi sesuatu yang tidak kena kepada diri mahupun keadaan, kita hendaklah melihat dari sudut pandang yang ringan dahulu. Apabila keadaan tidak berubah, malah menjadi lebih teruk, barulah jangkaan pandangan kita melangkau secara berperingkat-peringkat ke senario yang lebih buruk.
Dengan cara itu, kita tidak panik dan gopoh menangani masalah yang lazimnya kecil sahaja.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!