JCMB biayai rawatan bayi jantung berlubang
TEMERLOH - Seorang ibu tunggal kini mampu menarik nafas lega apabila separuh kos rawatan anak bongsunya yang menghidap jantung berlubang dibiayai Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu Bentong (JCMB).
Normala Syakila Arman, 21, berkata, dia sangat bersyukur kerana badan bukan kerajaan (NGO) itu sudi membantu membiayai kos rawatan anaknya, Muhammad Hariz Asyraf, dua bulan, yang mencecah RM35,000.
Menganggapnya sebagai rezeki anaknya, dia mengakui tidak menduga kisah Hariz mendapat perhatian ramai dan media tempatan termasuk JCMB.
"Saya bersyukur dengan sumbangan yang diterima berjumlah RM29,000 dan saya amat berterima kasih kepada mereka yang telah membantu saya.
"Tiada apa yang mampu diungkapkan selain bersyukur kepada ALLAH dan berterima kasih kepada pihak JCMB khususnya Datuk Jc (Pengerusi JCMB) yang menghulurkan bantuan ini," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Normala berkata, dia turut berterima kasih dengan pemberian susu khas buat anaknya yang selama ini tidak mampu dibeli mereka.
Menurutnya, dia sememangnya mengharap bantuan semata-mata kerana tidak mampu bekerja sejak setahun lalu disebabkan perlu beri perhatian yang rapi kepada dua anaknya yang menghidap sakit jantung sejak lahir.
Dalam pada itu, beliau berkata tarikh pembedahan Hariz belum ditetapkan walaupun sebelum ini tarikh ditetapkan 28 Februari lalu namun telah ditangguhkan.
"Saya berdoa agar Hariz sentiasa sihat bagi membolehkan pembedahan dijalankan dengan lancar mengikut tarikh ditetapkan Institut Jantung Negara (IJN)," katanya.
Sementara itu, Pengerusi JCMB, Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang lebih dikenali sebagai Jc berkata, sempena kunjungan itu, pihaknya turut menghulurkan sumbangan wang tunai dan bantuan susu khas buat Hariz supaya dia dapat menambah berat badan atas nasihat doktor.
Menurutnya, program ini merupakan sebahagian aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan JCMB untuk membantu mereka yang memerlukan
"Bila kami dapat tahu adik Hariz menghidap sakit jantung, kami terus mengadakan lawatan berjumpa dengan Normala dan mengetahui jumlah kos rawatan adik hariz berjumlah RM35,000.
"Kami di JCMB bersetuju menanggung kos rawatan selebihnya bagi membolehkan adik Hariz menjalani pembedahan di IJN," katanya.
Orang ramai yang sudi menghulur sumbangan boleh menghubungi Normala di talian 014-2191 292 atau menyalurkan bantuan secara terus menerusi akaun Bank Islam 06037023296993 atas nama Normala Syakila.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!