Binder catat masa terpantas sesi latihan MotoGP

Cuaca hujan ketika sesi latihan bebas Moto2 2022 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. - Foto Bernama
Cuaca hujan ketika sesi latihan bebas Moto2 2022 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA dari Afrika Selatan, Brad Binder mencatatkan masa terpantas pada dua sesi latihan bebas menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.

Pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu mencatatkan masa terpantas satu minit dan 59.479 saat (s) dalam sesi latihan bebas 1 (FP1) pada sebelah pagi, sebelum hujan lebat menyebabkan sesi latihan bebas 2 (FP2) tergendala pada sebelah petang.

Binder 0.097s lebih pantas daripada pelumba Team Suzuki Ecstar, Alex Rins yang berada pada kedudukan kedua pada sesi sebelah pagi.

Juara dunia enam kali Marc Marquez dari Repsol Honda Team mencatatkan masa ketiga terpantas iaitu hanya 0.144s di belakang Alex, manakala Enea Bastianini dari Gresini Racing MotoGP di tempat keempat dengan 1:59.875s.

Juara bertahan Fabio Quartararo dari Monster Energy Yamaha MotoGP menduduki tempat ketujuh dengan 2:00.543s manakala pendahulu carta kejohanan Francesco Bagnaia of Ducati Lenovo Team gagal tersenarai dalam 10 terpantas, ketinggalan hanya 0.003s dalam sesi pertama.

Bagnaia kini mendahului kejohanan dengan 14 mata dengan berbaki dua perlumbaan musim ini dan berpeluang untuk bergelar juara dunia jika beliau menang di Sepang dan meraih sekurang-kurangnya kedudukan keempat di Quartararo.

Sesi pagi berjalan lancar, namun hujan lebat pada tengah hari menyebabkan sesi kedua tergendala dan menjejaskan masa yang dicatat pelumba Moto2 dan kelas Premier.

Artikel Berkaitan:

Aksi pelumba Team Suzuki Ecstar, Alex Rins ketika sesi latihan bebas kedua MotoGP 2022 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. - Foto Bernama
Aksi pelumba Team Suzuki Ecstar, Alex Rins ketika sesi latihan bebas kedua MotoGP 2022 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. - Foto Bernama

Dalam Moto2, Augusto Fernandez dari Red Bull KTM Ajo melakukan masa terpantas 2:06.816s dalam FP1 manakala rakan sepasukannnya Pedro Acosta di tempat kedua (2:07.644s) dan pelumba Elf Marc VDS Racing Team, Tony Arbolino di tempat ketiga dengan 2:07.867s.

Dua pelumba kebangsaan Azroy Hakeem Anuar dan Kasma Daniel Kasmayudin yang memegang slot wild card untuk kelas Moto2, masing-masing merekodkan 2:11.216s dalam FP1 dan 2:12.071s (FP2) sekali gus berada pada kedudukan dua terakhir.

"Saya berdepan masalah teknikal pada FP1 apabila motosikal hidup tapi tak boleh pulas pendikit dan pada FP2 pula jentera dah ok, tetapi saya cuma dapat dua pusingan dalam keadaan litar kering sebelum hujan lebat. Saya harap semua akan bertambah baik esok,” kata Kasma Daniel.

Sementara itu, dalam kategori Moto3, seorang lagi pelumba wild card kebangsaan Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok menjadi pelumba ke-16 terpantas dengan merekodkan 2:13.448s dalam FP1, manakala Dennis Foggia dari Leopard Racing mengungguli sesi latihan dengan masa 2:12.348s juga dalam FP1.

"Semasa FP1 saya rasa kuat dan juga yakin dengan jentera, tetapi ketika FP2 cuaca sangat panas dan saya cuba untuk cari penalaan terbaik untuk jentera namun ada masalah dengan cengkaman dan saya cuba buat long run dan berharap pasukan dapat perbaiki segala masalah esok untuk terus ke Q2,” kata Damok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!