Terbuka Denmark: Yew Sin-Ee Yi mara ke separuh akhir
BEREGU lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mencipta kejutan apabila mengesahkan slot separuh akhir Terbuka Denmark di Jyske Bank Arena, Odense pada Sabtu.
Kemaraan Yew Sin-Ee Yi lebih sensasi apabila menewaskan gandingan nombor dua dunia dari Taiwan, Lee Yang-Lu Chen dalam perlawanan tiga set pada perlawanan suku akhir kejuaraan Super 750 itu.
Akur tewas 18-21 dek kegopohan pada set pertama, Yew Sin-Ee Yi yang merupakan pemain nombor sembilan dunia bangkit permainan lebih kemas dua set berikutnya untuk menang 21-19, 21-13 dalam masa 63 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Yew Sin-Ee Yi akan berdepan pemain nombor enam dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di separuh akhir.
Terdahulu, satu lagi beregu lelaki negara yang juga juara dunia dan nombor empat dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga mara separuh akhir setelah menyingkirkan cabaran Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India, 21-16, 21-19.
Pada separuh akhir, Aaron-Wooi Yik yang akan menentang beregu nombor tiga dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang menewaskan Leo Rolly Carnando-Daniel Martin, 15-21, 22-20, 22-20.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!