Calon mula berani keluar 'kepompong'
KINI calon yang bakal bertanding pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) dilihat semakin berani keluar dari zon selesa dengan menyatakan kesediaan bertanding di kawasan yang dianggap tidak ‘selamat’ dimenangi.
Antara calon 'heavyweight' yang menjadi tumpuan ketika ini ialah penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memaklumkan beliau hampir pasti dihantar bertanding di kerusi Parlimen yang sebelum ini dimenangi parti pembangkang.
Menteri Kesihatan itu bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci berhubung kerusi yang dimaksudkan berikutan ia belum dimuktamadkan lagi oleh pucuk pimpinan BN.
Beliau sebaliknya menyerahkan kepada orang ramai untuk terus membuat andaian.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerusi Parlimen Kuala Pilah kemungkinan bakal menyaksikan pertembungan antara Khairy Jamaluddin dan Setiausaha akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Norazman Mohamad yang bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) pada kali ini.
Pada PRU14, Khairy Jamaluddin mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Rembau dengan majoriti 4,364 undi.
Beliau yang memperoleh 36,096 undi, mengalahkan Roseli Abdul Ghani daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 31,732 undi, manakala Mustafa Dolah (Pas) memperoleh 6,028 undi.
Sementara itu, turut bertanding di kawasan yang tidak mudah dimenangi ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka menentang penyandang Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Tambun.
Keputusan itu diambil untuk mengangkat Perak sebagai barisan hadapan perjuangan gabungan parti itu dalam PRU kali ini.
Malah, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini menyuarakan keyakinan untuk merampas kembali Perak, seperti yang pernah mereka lakukan pada PRU14 lalu.
Pengumuman itu mendapat reaksi Ahmad Faizal dan beliau sempat memberikan sedikit ‘pesanan’ kepada Anwar.
Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik ke dalam laman Facebooknya, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menyebut individu yang mahu berhijrah ke kawasan Parlimen Tambun perlu menyebut perkataan air dalam loghat yang betul.
“Di Tambun, orang akan panggil ‘ayor’ bukan ‘ayaq’,” guraunya secara sinis.
Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, video tersebut dipercayai ditujukan kepada Pengerusi PH itu.
Pastinya calon-calon yang bertanding di bukan zon ‘selamat’ bakal menempuh laluan berliku sebelum berjaya memancing hati pengundi di kawasan tersebut.
Bagaimanapun sekiranya menang, ia akan dapat membuktikan kredibiliti mereka sebagai seorang pemimpin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!