Zii Jia lepasi Jonatan, Kean Yew kejutkan Axelsen
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menempah slot separuh akhir Terbuka Denmark selepas mengatasi bintang Indonesia, Jonatan Christie dalam perlawanan suku akhir pada Sabtu.
Pada kejuaraan berstatus Super 750 yang berlangsung di Jyske Bank Arena, Odense itu, pemain nombor tiga dunia sebelum ini menyingkirkan cabaran pemain Jepun, Kanta Tsuneyama bermula cemerlang apabila menang set pertama 21-16.
Namun Christie yang merupakan pemain nombor tujuh dunia kembali bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-18 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada set penentuan, kedua-dua pemain sering berkejar mata yang akhirnya menyaksikan Zii Jia yang tampil sebagai pilihan keempat kejohanan menang 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung selama 67 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia bakal berentap dengan pemain Singapura, Loh Kean Yew bagi perebutan slot perlawanan akhir.
Kean Yew sebelum itu mencipta sensasi apabila menyingkirkan juara dunia yang juga pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Pemain nombor tujuh dunia itu mara selepas menjinakkan jagoan tuan rumah tersebut dalam perlawanan set straight untuk kemenangan 21-17, 21-10 dalam masa 30 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!