Seorang maut, tiga beranak cedera kemalangan

Dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di KM7,Jalan Lipis-Merapoh pada Jumaat. Foto: Ihsan PDRM
Dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di KM7,Jalan Lipis-Merapoh pada Jumaat. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seorang maut manakala tiga beranak cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer (KM) 7, Jalan Lipis-Merapoh di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, kemalangan melibatkan kereta jenis Toyota Vios dan Proton Persona.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor memberitahu, mangsa, pemandu Vios, Poon Zhong Soon, 30, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Vios yang dipandu mangsa bergerak dari arah Merapoh menghala Kuala Lipis seorang diri.

"Kereta Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun bersama isterinya dan seorang anak lelaki bergerak menghala ke arah Merapoh dari Kuala Lipis untuk balik ke rumahnya.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Vios itu dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas memasuki ke laluan bertentangan dan terus melanggar Persona secara berhadapan menyebabkan Vios telah terbalik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar Azli, kemalangan itu menyebabkan pemandu Vios meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan oleh pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Jelas beliau, pemandu Persona bersama isterinya yang berusia 28 tahun mengalami cedera ringan manakala anak pasangan tersebut yang berusia tiga tahun cedera di kepala.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!