PRU15: Calon PN tandatangani akujanji, lafaz ikrar antirasuah

Muhyiddin semasa menyampaikan ucapan pada Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu pada Jumaat.
Muhyiddin semasa menyampaikan ucapan pada Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Semua calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu menandatangani akujanji dan lafaz ikrar antirasuah.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akujanji dan lafaz ikrar itu merupakan komitmen calon PRU15 yang mewakili PN supaya tidak melanggar akta sebagaimana telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ia dibuat dengan nama ALLAH. Perkara ini telah kita praktikkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"PN merupakan gabungan tunggal di negara ini yang berbuat demikian," katanya semasa sidang akhbar selepas Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menurut beliau, ini merupakan salah satu janji PN dalam memastikan semua calon mempunyai integriti yang tinggi.

Dalam perkembangan lain, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, PN akan meletakkan semua calon di 27 kerusi panas.

Ujar beliau, agihan kerusi itu melibatkan semua parti komponen dalam PN.

Artikel Berkaitan:

"PRU15 kali ini kita akan umumkan semua calon PN mengikut negeri masing-masing dan tidak buat secara berpusat.

"Hal ini bagi memastikan rakyat dapat mengenali calon-calon mereka secara lebih dekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!