Kerajaan perlu fokus 10 saranan MPN
MPN sarankan penekanan terhadap aspek keterangkuman sosial
SHAH ALAM - Sebanyak 12 kertas kerja penyelidikan telah berjaya dibentangkan menerusi Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial yang berlangsung pada 13 Oktober lalu.
Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, kertas kerja tersebut merangkumi isu-isu penting, antaranya berkenaan kemiskinan situasi, pendidikan dan aspek perancangan bandar lestari bagi golongan berpendapatan rendah (B40).
Selain itu, ia turut melibatkan isu keterangkuman wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak, model perusahaan sosial bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), potensi ekonomi hijau, sekuriti makanan serta pemerkasaan sektor eko-pelancongan.
Justeru, melalui seminar yang dijalankan, kerajaan digesa untuk segera memulihkan negara melalui 10 penekanan aspek keterangkuman sosial dan bermaruah sebagai langkah ke hadapan dalam usaha memulihkan negara.
Pertama, memberi penekanan terhadap aspek kuantiti dan kualiti pendidikan bagi mengatasi masalah keciciran dan masalah mental dalam kalangan murid serta menambah baik pengambilan nutrisi makanan.
Seterusnya, memacu sektor perniagaan dengan meningkatkan akses kepada geran dan pinjaman serta moratorium bersasar untuk mengatasi masalah aliran tunai.
“Insentif bagi tujuan ketersediaan digital PMKS juga perlu diperkenalkan sebagai alternatif untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada buruh berkemahiran rendah, pekerjaan berkualiti tinggi dan menawarkan pendapatan tinggi,” katanya.
Fokus kepada pelaburan
Kenyataan itu turut menyarankan kerajaan segera mengenal pasti pelaburan yang memfokuskan kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang berteknologi dan produktiviti tinggi serta menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.
Jelasnya, kerajaan juga perlu menekankan tentang peningkatan kemahiran melalui insentif kepada majikan yang menghantar pekerja untuk peningkatan kemahiran (upskilling and reskilling).
Ini termasuk penumpuan kemahiran menjurus ke arah digitalisasi dan mahir dalam teknologi tinggi serta meningkatkan produktiviti dan peluang meningkatkan pendapatan.
Selain itu, isu-isu sosioekonomi negara khususnya dalam mengurangkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak harus segera diselesaikan melalui pendekatan berdasarkan situasi (no one-size fits all) merangkumi hak golongan wanita, orang kurang upaya (OKU), golongan minoriti termasuk Orang Asal.
“Seterusnya, menambah baik infrastruktur asas dan akses kepada perkhidmatan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah serta Sarawak. Ia bertujuan mengurangkan kos pengangkutan tinggi, ‘out-of-pocket payments’ dan masalah kekurangan staf kesihatan,” katanya.
Tumpuan terhadap aspek perubahan struktur yang bersifat berpusat kepada desentralisasi juga perlu ditekankan termasuk dari segi pengagihan peruntukan yang lebih saksama untuk Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, kerajaan juga diminta menangani isu jaminan bekalan makanan bagi mengatasi dilema ketidaktentuan rantaian bekalan dan kebergantungan terhadap import yang telah menghantui negara sejak sekian lama.
Selain itu, pembangunan ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui dan matlamat ekonomi hijau juga perlu ditingkatkan.
“Akhir sekali, berikan penekanan terhadap usaha mengenal pasti anjakan baharu dalam bidang ekonomi yang bersesuaian mengikut acuan tempatan dengan merangka strategi yang berkesan.
“Contohnya instrumen wakaf, zakat dan infaq tanpa mengikut atau mengadaptasi model luar negara yang sukar dipraktikkan di Malaysia. Justeru, satu pendekatan yang bersifat holistik dan inklusif perlu diambil dalam memacu pemulihan negara serta memperkukuh aspek keterangkuman sosial.
“Langkah ini penting bagi menangani jurang pendapatan dan sosioekonomi merentasi wilayah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030),” jelas kenyataan itu.
Reaksi
“Sebagai usahawan, bantuan melalui moratorium khas yang disediakan oleh MPN banyak membantu perniagaan saya. Bantuan dari segi peralatan seperti mesin yang canggih juga dapat menggandakan jumlah pengeluaran.” – Pengusaha kedai makan, Muhammad Khairul Fikri, 30.
“Saya menyokong penuh usaha MPN asalkan dapat membantu kami sebagai pengusaha PMKS. Selain moratorium, adalah lebih baik jika ditawarkan geran untuk syarikat percetakan seperti kami membeli mesin-mesin yang harganya berada di luar kemampuan. Agak sukar dapatkan bantuan kerana terpaksa menyediakan pelbagai kertas kerja.” - Usahawan PMKS, Amir Amsyar Ismail, 31,
“Wabak Covid-19 memberi impak yang sangat besar terhadap ekonomi keluarga saya. Harapan saya agar MPN dapat memfokuskan penyediaan pendidikan yang lebih komprehensif demi pembangunan anak-anak.” - Pembantu kantin, Hailiza Kamaruddin, 33.
“Sekiranya proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dapat dilaksanakan, saya amat berharap akan ada penambahbaikan dari segi penstrukturan semula. Langkah ini perlu agar MPN dapat mengenal pasti golongan sasaran untuk dibantu.” - Nur Usahawan, Khairunnisa Abd Khalil, 28.
“Saya hilang punca pendapatan selepas kehilangan suami setahun lalu dan sehingga kini masih tidak dapat bekerja. Namun saya bersyukur kebajikan sosial kami sedikit sebanyak terjaga dengan usaha MPN. Saya harap pendidikan anak-anak terus terbela.” – Ibu tunggal, Juhana Arshad, 41.
10 isu-isu penting yang perlu diutamakan:
- Memberi penekanan terhadap aspek kuantiti dan kualiti pendidikan murid.
- Memacu sektor perniagaan dengan meningkatkan akses kepada geran dan pinjaman serta moratorium.
- Insentif berkaitan digital PMKS perlu diperkenalkan sebagai alternatif untuk tingkatkan produktiviti.
- Mengenal pasti pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang berteknologi.
- Tingkatkan kemahiran melalui insentif kepada majikan yang menghantar pekerja bagi program upskilling and reskilling.
- Mengurangkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak berdasarkan situasi (no one-size fits all).
- Tambah baik infrastruktur asas dan akses kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
- Tangani isu jaminan bekalan makanan bagi mengatasi dilema ketidaktentuan rantaian bekalan.
- Tingkatkan pembangunan ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui dan matlamat ekonomi hijau.
- Kenal pasti anjakan baharu dalam bidang ekonomi yang bersesuaian mengikut acuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!