Kerajaan Pulau Pinang perlu realistik tentang Projek LRT
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang digesa agar lebih realistik berhubung pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas yang dijangka memulakan kerja pada pertengahan tahun hadapan.
Ini kerana, menurut Naib Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Francis Goh kerajaan negeri masih belum menyelesaikan beberapa isu penting antaranya perobohan, pengambilan tanah dan penempatan semula yang melibatkan penduduk setempat.
Menurutnya, projek mega bernilai RM2.8 bilion itu memerlukan perancangan yang lebih teliti dan diharap bukan sekadar janji manis untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada November ini.
"Projek ini berskala besar sepanjang 30 kilometer (km) dan melibatkan banyak pihak termasuk penduduk setempat dan beberapa struktur bangunan penting antaranya rumah ibadat serta masjid.
"Bagaimana kerajaan negeri boleh mengatakan bahawa projek ini akan bermula pada pertengahan tahun hadapan sedangkan banyak isu utama belum diselesaikan antaranya pengambilan tanah dan penempatan semula penduduk terlibat?" soalnya pada sidang akhbar di Wisma MCA Pulau Pinang di sini pada Sabtu.
Projek LRT merupakan salah satu projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion yang mana, ia turut melibatkan monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.
Bagi merealisasikan PTMP, Kerajaan Pulau Pinang melaksanakan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion.
Beliau yang juga Penyelaras MCA Datuk Keramat berkata, pihaknya bimbang sekiranya projek LRT itu hanya 'gula-gula' yang ditaburkan kerajaan negeri semata-mata untuk memancing undi.
"Pilihan raya semakin dekat dan kita bimbang jika ia hanya dijadikan sebagai umpan untuk memancing undi. Adalah tidak logik jika projek sebesar itu akan dimulakan pada pertengahan tahun depan sedangkan banyak perkara belum selesai.
"Lebih mengejutkan, beberapa penduduk yang ditemui di Bayan Lepas mendakwa mereka langsung tidak menerima notis mengenai projek tersebut sedangkan kawasan mereka, dijangka terlibat dengan tapak projek berkenaan," katanya.
Sementara itu, Penyelaras MCA Jelutong, Jeffrey Ooi berkata, pihaknya juga bimbang sekiranya Projek LRT Bayan Lepas itu akan menjadi projek gajah putih seperti yang berlaku pada projek terowong dasar laut.
Tambahnya, kenyataan kerajaan negeri yang menyatakan projek tersebut adalah salah satu usaha untuk menangani masalah kesesakan trafik dilihat tidak akan menjadi realiti.
"Jumlah kenderaan yang ada di kawasan pulau adalah dari seberang, sedangkan jajaran LRT ini adalah dari Bayan Lepas ke pusat bandar. Kita melihat, projek ini tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas seperti yang dinyatakan kerajaan negeri.
"Selain itu, jajaran LRT yang bakal dibina melalui kawasan yang sempit seperti di Sungai Nibong dan kawasan sekitarnya. Adakah kerajaan negeri akan mengambil kawasan sekolah dan beberapa masjid di situ, dan persoalannya, adakah proses pengambilan tanah itu sudah selesai?" katanya.
Sehubungan itu, Jeffrey memohon kerajaan negeri supaya menjelaskan kemajuan projek mega itu berhubung beberapa isu penting sebelum mengumumkan bahawa ia akan dimulakan pada pertengahan tahun 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!