Angkara lilin adik maut kebakaran rumah
BAGAN SERAI - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Teluk dekat sini pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, Tan Ah Nya, 69, ditemui dalam keadaan duduk sujud dengan beberapa kesan melecur di badan di ruang tamu rumah berkenaan dan dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Mangsa dikatakan tinggal berdua bersama kakaknya, Tan Boy Soo, 72, namun ketika kejadian, kakaknya itu berjaya diselamatkan orang awam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Hudri Mohd Arshad berkata, kebakaran mula disedari jiran mangsa yang terjaga akibat terhidu bau asap.
Menurutnya, jiran berkenaan bertindak menendang pintu jeriji besi rumah terbabit dan berjaya menyelamatkan kakak mangsa.
"Kebakaran telah memusnahkan lebih 70 peratus ruang tamu rumah.
"Disebabkan keadaan api marak dengan cepat, mangsa gagal diselamatkan sebelum terperangkap dan meninggal dunia di rumah itu akibat sesak nafas," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, siasatan awal dijalankan mendapati, punca kebakaran dipercayai bermula daripada api lilin yang dipasang oleh pasangan adik-beradik ini.
Katanya, rumah berkenaan, mempunyai bekalan elektrik dan lilin itu hanya digunakan pada waktu malam dipercayai untuk menjimatkan penggunaan bil elektrik.
"Mereka adik-beradik masih bujang dan menghuni rumah tersebut sejak sekian lama.
Hudri berkata, kakak mangsa yang terselamat telah dibawa le Hospital Taiping untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!