Jasa Tok Mat kepada Rantau
TANGGAL 13 April 2019, sekali lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) akan berlangsung. Kali ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.
Sekali lagi UMNO/BN dengan kerjasama Pas menghantar Datuk Seri Mohamad Hasan (atau lebih mesra dengan gelaran Tok Mat) untuk bertanding di kerusi miliknya itu.
Tok Mat ialah penyandang DUN Rantau semenjak tahun 2004 hinggalah keputusan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi DUN ini dibatalkan oleh pihak mahkamah pada 16 November 2018.
Beliau merupakan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan dengan menyandang jawatan tersebut selama lebih 14 tahun, iaitu bermula dari 25 Mac 2004 hinggalah pada 9 Mei 2018 selepas menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Dalam tempoh lebih sedekad ini, Tok Mat telah memberikan impak positif yang besar khususnya kepada peningkatan ekonomi Negeri Sembilan secara umumnya.
Tok Mat adalah orang korporat yang menyertai politik selepas membina kerjaya selama lebih 20 tahun. Pengalaman ini digunakan sebaik mungkin untuk memajukan ekonomi negeri biarpun ia telah diuji beberapa kali.
Tok Mat telah memperkenalkan had perkhidmatan Exco Kerajaan Negeri yang dilantik selama dua tahun sahaja. Had ini adalah penting bagi memastikan exco-exco bekerja dengan bersungguh-sungguh.
Pada masa sama, ia juga merupakan amaran tegas kepada semua exco untuk tidak menjadikan jawatan ini sebagai tempat mengaut ghanimah, sebaliknya sebagai taklif dan amanah untuk dipikul setelah dipilih oleh rakyat.
Tindakan ini dibuat bukan terhad kepada ahli-ahli UMNO semata-mata bahkan juga kepada exco-exco MCA dan MIC.
Berkat keseriusan ini, pada tahun 2010 tiada seorang pun exco yang digantikan. Natijahnya, Negeri Sembilan telah mencatat pertumbuhan ekonomi membanggakan bagi tahun 2011 dan 2012 iaitu 5.2 peratus dan 6.2 peratus masing-masing.
Di bawah pentadbiran beliau, Negeri Sembilan telah muncul sebagai satu-satunya negeri yang melunaskan hutang secara tunai kepada Kerajaan Pusat dan peningkatan reserve yang baik.
Kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah cukup selesa semasa peninggalan beliau daripada jawatan menteri besar tersebut.Tok Mat mempunyai perancangan jangka panjang bagi menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri maju setanding dengan Melaka dan Johor. Perancangan ini dikenali sebagai Rancangan Struktur Negeri Sembilan (RSNS) 2045.
Beliau merancang untuk pembangunan secara mampan yang melibatkan bandar dan desa melalui pelbagai program di antaranya Malaysia Visionary Valley (MVV), Agropolis dan Biodiversiti.
Program-program itu melibatkan pelbagai daerah di antaranya Seremban, Port Dickson, Jempol, Tampin, Kuala Pilah dan Jelebu.
Dalam perancangan tersebut, ia akan melibatkan sekurang-kurangnya sembilan jenis pembangunan iaitu:
1. Pembangunan perbandaran di sekitar MVV dan Bandar Seri Jempol-Bahau.
2. Pembangunan jajaran transit kereta api laju Kuala Lumpur – Singapura.
3. Pembangunan pendidikan di ‘Lembah Ilmu’ di Nilai dan Seremban.
4. Pembangunan hab Pendidikan Islam di Gemencheh.
5. Pembangunan pelancongan di Port Dickson – Teluk Kemang - Linggi – Lubok China (Sempadan Melaka).
6. Pembangunan eko pelancongan dan biodiversity di Jelebu.
7. Pembangunan semula pelancongan warisan di Kuala Pilah dan Bandar Diraja Seri Menanti.
8. Penjenamaan semula Halal Food Park di Rembau.
9. Pembangunan hab pengeluaran ruminan di Gemas.
Tok Mat berjaya memikat pelabur dengan jumlah pelaburan melebihi sasaran RM1 bilion untuk tahun 2015. Trend peningkatan terus berlaku dari tahun ke tahun begitu juga dengan peningkatan belanjawan.
Perancangan itu merupakan projek komprehensif dan terperinci dengan gambaran jelas tentang pelaksanaan. Namun perancangan ini terbantut dengan kekalahan PRU14 tempoh hari.
Tok Mat seorang visionary bermatlamat dengan segala yang dicita-citakan adalah mampu dicapai.
Beliau seorang yang walk the talk dan bukan jenis omongan kosong dengan janji bulan dan bintang. Sebaliknya ia telah terbukti selama lebih sedekad.Dalam tempoh lebih sedekad lalu,
Tok Mat telah memberikan impak positif yang besar khususnya kepada peningkatan ekonomi Negeri Sembilan secara umumnya.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!