PRU15: BN Johor dijangka umum calon sebelum penamaan

HASNI
HASNI
A
A
A

PONTIAN - Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad memberi bayangan senarai nama calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diumumkan dua atau tiga hari sebelum hari penamaan pada 5 November depan.

Katanya, BN Johor sudah memiliki senarai calon yang akan bertanding di 26 kerusi Parlimen di negeri ini.

"Sudah ada senarainya, malah sesi perbincangan telah dibuat untuk mengenal pasti calon yang sesuai berdasarkan kawasan Parlimen.

"Sama ada penyandang kekal atau calon baru, semua maklumat itu BN Johor ada, cuma kita belum lagi sampai ke peringkat untuk membuat senarai pendek," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian di sini pada Sabtu.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor turut menjangkakan senarai calon tersebut akan diumumkan bersama penyerahan watikah calon sebelum hari penamaan calon.

"Kita menjangkakan penganjuran majlis penamaan calon termasuk penyerahan watikah akan diadakan, dua tiga hari sebelum hari penamaan calon," katanya.

Sebelum ini, Hasni dilaporkan berkata, UMNO Johor dijangka bertanding 17 kerusi, MCA lapan, manakala MIC pula satu kerusi.

Pada 17 Ogos lalu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor meletakkan sasaran untuk gabungan itu memenangi 20 kerusi Parlimen di Johor pada PRU15 nanti, sekali gus menjadi penyumbang utama kerusi bagi menubuhkan kerajaan Pusat yang kukuh.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 5 November.

Sementara hari pengundian awal ialah pada 15 November ini dan hari pengundian PRU15 pada 19 November.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!