Perjuangan belum selesai, William batal hasrat bersara
RAWANG - Hasrat bersara sebagai wakil rakyat terpaksa ditangguhkan berikutan perjuangan Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan reformasi dalam negara belum kesampaian.
Bekas Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, disebabkan itu beliau akan menjadi calon kerusi tersebut jika pimpinan parti memintanya berbuat demikian.
Beliau berkata, siapa juga yang dicalonkan mewakili Pakatan Harapan (PH) perlu diberikan sokongan penuh.
"Sebenarnya, selepas tiga penggal (sebagai Ahli Parlimen Selayang), saya telah membuat keputusan untuk bersara.
"Sudah 15 tahun jadi wakil rakyat, isteri kata sudah sampai masa (bersara). Namun, perjuangan saya dan anda... kita belum mencapainya.
"22 bulan kita dah menang, tetapi kita memberi kepercayaan kepada orang yang mungkin terlalu tua.. dia bukan reformis, dia tak tahu nak buat reformasi.
"Disebabkan itu, jika pucuk pimpinan pilih saya sekali lagi sebagai calon, saya akan terima," katanya pada Jelajah Harapan Selangor dan Pelancaran Jentera PH Parlimen Selayang di Taman Bersatu di sini pada Jumaat.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Khairuddin Othman.
William berkata, perjuangan parti adalah untuk menjadikan negara yang lebih baik bagi generasi akan datang.
"Semua agama mempunyai fahaman sama bahawa kita mahu kehidupan yang baik, melakukan kebaikan dan menolak kejahatan.
"Kekuatan PH kerana setiap parti komponen mempunyai dasar berbilang kaum dan ciri keistimewaan ini menjadi kekuatan kita kepada rakyat Malaysia.
"Apa yang penting adalah keberanian dan yakin perjuangan kita adalah yang betul, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!