[VIDEO] 'Teman orang Perak sembilan tahun' - Anwar
PORT DICKSON - "Saya nak beritahu, saya belajar di Kuala Kangsar tujuh tahun dan saya sambung pula di Kemunting dua tahun.
"Teman ini orang Perak sembilan tahun," demikian kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Jelajah Harapan Negeri Sembilan di Dataran Segar di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian menjawab sindiran Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengingatkan Presiden PKR itu adalah calon luar dengan mengaitkannya dari segi penggunaan loghat tempatan di Tambun yang berbeza di tempat lain di luar Perak.
Ia berikutan selepas penyandang Parlimen Port Dickson itu mengumumkan bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Anwar, beliau membuat keputusan bertanding di Parlimen Tambun bukannya untuk berhujah dengan Ahmad Faizal, sebaliknya untuk berkhidmat kepada rakyat di sana.
"Saya nak beritahu, Anwar yang diamanahkan menjaga negara dan membuat kerja-kerja antarabangsa masih ada, saya masih lagi Pengerusi Institut Pemikiran Islam Sedunia.
"Tapi bila saya jadi wakil rakyat, tentunya saya ada tanggungjawab khusus," katanya.
Selain itu katanya, keputusan berpindah dari Parlimen Port Dickson bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 bertujuan untuk menguatkan parti.
Ujarnya, kerusi Parlimen Tambun dipilih memandangkan ia merupakan kerusi yang dikuasai parti Bersatu.
"Ada orang tanya kenapa pindah? Sebabnya kita nak tawan tempat lain dan Tambun pula kerusi yang dikuasai oleh Bersatu.
"Jadi kita nak cuba tawan pula di situ pula, mudah-mudahan jika dapat tawan beberapa kawasan lain, kita akan ada nilai tambah.
"Kalau kita masing-masing selalu pertahankan saja dan tak boleh berkembang ke tempat lain ia tiada nilai," katanya.
Beliau berkata, tidak kisah persepsi sesetengah pihak yang mengatakan dirinya tidak mendapat sokongan daripada pengundi Port Dickson menyebabkan berpindah ke Tambun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!