Diserang ketika minum
KUALA PILAH - Dua lelaki hanya mampu melindungi diri menggunakan kerusi plastik ketika diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata dalam kejadian di sebuah kedai makan di Melang, malam Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 30- an itu sedang minum bersama seorang lagi rakannya.
"Berdasarkan siasatan awal, sekumpulan lelaki bertopeng datang ke lokasi dipercayai menggunakan Proton Pesona warna kelabu dan Perodua Viva warna perak.
"Salah seorang daripada suspek memakai topeng berwarna hitam, seorang lagi memakai topi.
"Seorang suspek berparang dan yang lainnya menggunakan cota dan rotan terus menyerang mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Haslah berkata, kejadian berlaku hanya lebih kurang 1 minit dan dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) kedai tersebut.
"Akibat kejadian, Mangsa patah jari, lebam di lengan kiri dan luka di kepala manakala rakannya cedera di lengan, kepala dan kaki.
"Polis giat memburu suspek terlibat dan orang ramai yg mempunyai maklumat boleh ke balai polis berhampiran atau hubungi Inspektor Khairul Izzaq di talian 06-4842999," katanya.
Menurut Haslah, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata.
Semalam, sebuah video serangan bersenjata berdurasi kurang satu minit telah dimuat naik di sebuah laman Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!