Calon BN rasmi hanya akan diumumkan parti
BESUT – Para pengundi diminta tidak mudah terpengaruh dengan penularan satu poster didakwa sebagai calon BN yang bertanding di lapan kerusi Parlimen Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad berkata, pengumuman calon rasmi BN akan dibuat oleh kepimpinan parti dalam tempoh terdekat iaitu sebelum hari penamaan calon pada 5 November nanti.
“Ini (poster) saja viral, bukan rasmi tapi mungkin dari mana-mana. Kita orang politik tengok ia sebagai perkara biasa ketika musim PRU,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan BesutMaju Kali ke-6/2022 di Pusat Aktiviti Warga Emas, di sini pada Sabtu.
Hadir sama Penaung BesutMaju, Datuk Mohamad Fasri Samsuddin, ADUN Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, Pengerusi BesutMaju, Datuk Mohd Nawawi Ismail dan Naib Pengerusi BesutMaju yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Minggu lalu, tular satu poster memaparkan lapan individu yang disebut sebagai calon BN lapan Parlimen di Terengganu.
Lapan individu itu adalah Nawi sebagai calon di Parlimen Besut, Bazlan Abd Rahman (Setiu), Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Datuk Wan Hisham (Kuala Terengganu), Datuk Seri Abdul Rahman Bakar (Marang), Datuk Rozi Mamat (Hulu Terengganu), Datuk Din Adam (Dungun) dan Datuk Seri Ahmad Said (Kemaman).
Menurut Nawi, UMNO Bahagian Besut menghantar lima calon yang akan bertanding bagi mempertahankan Parlimen Besut dan beliau menyerahkan keputusan pemilihan calon kepada pucuk pimpinan parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut itu berkata, siapa saja yang terpilih sebagai calon akan disokong dan persiapan sudah dilakukan dengan jentera parti kini bersiap sedia menghadapi PRU15 pada 19 November nanti.
“Kita bersama semua kepimpinan di Besut telah bersetuju sesiapa yang jadi calon kita akan bekerja keras bagi memastikan Parlimen Besut dapat menyumbang satu kerusi kepada pembentukan kerajaan BN.
“Kita juga mahu menang dengan majoriti lebih besar iaitu lebih 8,000 undi,” katanya.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Besut dimenangi Datuk Seri Idris Jusoh yang bertanding atas tiket BN menewaskan calon Pas, Riduan Mohamad Nor dan Pakatan Harapan, Datuk Wan Nazari Wan Jusoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!