Senarai calon PKR Perlis sudah lengkap 80 peratus

Nurul Izzah (dua dari kanan) ketika menziarahi penduduk di Kampung Kota Kayang pada Sabtu.
Nurul Izzah (dua dari kanan) ketika menziarahi penduduk di Kampung Kota Kayang pada Sabtu.
A
A
A

KANGAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah melengkapkan 80 peratus senarai calon yang akan bertanding di Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, PKR menggandingkan calon muka baharu bersama bakat sedia ada yang bekerja keras selama ini bagi membantu parti berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, terdapat jawatankuasa yang menilai pemilihan calon parti itu berdasarkan input diberikan di peringkat negeri dan cabang.

"Insya-ALLAH kita harapkan bila pengumuman dibuat pada 28 Oktober nanti, bukan soal nama kita disenarai atau tidak, tetapi senarai itu yang terbaik merangkumi semua indikator," katanya ketika ditemui selepas menziarahi penduduk di Kampung Kota Kayang di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai calon Menteri Besar, Nurul Izzah berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan di peringkat PH selepas keputusan PRU15.

"Kita akan berbincang di peringkat PH, selalunya pelantikan itu dilihat selepas keputusan PRU15 walaupun sudah ada bayangannya," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkaitan hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad yang ingin bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kerjasama dengan antara Gerakan Tanah Air (GTA) dan PH, beliau menjelaskan akan menumpukan ke arah agenda pengukuhan PH.

"Saya sudah komen banyak kali tentang ini, buat masa sekarang parti hanya menumpukan kepada agenda pengukuhan PH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA berkata, beliau sedia berbincang dengan Anwar berkaitan kerjasama pada PRU15.

Beliau percaya mereka berdua mempunyai matlamat yang sama dan akan melakukan langkah pertama jika diperlukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!