Damok harap trek Sepang basah

Syarifuddin atau Damok bakal memulakan GP Malaysia 2022 bagi kelas Moto3 di petak ke-21 di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad. - Foto Bernama
Syarifuddin atau Damok bakal memulakan GP Malaysia 2022 bagi kelas Moto3 di petak ke-21 di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA wildcard negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok yakin faktor hujan dapat membantunya menaiki podium pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (GP) Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad.

Damok yang mengharapkan keadaan cuaca baik sebelum ini, mengakui dengan tetapan jenteranya selepas sesi latihan bebas dan kelayakan, berlumba di trek basah dirasakan dapat memberinya kelebihan untuk mencabar kedudukan tiga teratas kelas Moto3.

“Esok (Ahad) saya perlu berada dalam kelompok depan seawal mungkin dan berada di kedudukan yang menjanjikan mata. Saya nak fly (menunjukkan sesuatu) kerana esok (Ahad) ramai penonton dan peminat sukan permotoran datang.

“Di Sepang, laluan yang berkemungkinan boleh memintas adalah di Turn 4, Turn 9 dan terakhir. Ini disebabkan kelajuan motosikal semua berada dalam keadaan sama, cuma berbeza daripada pembrekan, jadi kena fokus di situ.

“Kalau esok (Ahad) hujan, saya rasa ada peluang besar untuk berada di podium... sebabkan tetapan jentera yang kurang memuaskan jadi lebih baik saya pilih untuk hujan,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Pada masa sama, pelumba berusia 20 tahun itu turut menyimpan hasrat memadam rekod perlumbaan sepusingan terpantas dua minit dan 12.775 saat (s) milik bekas pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin yang dicipta pada musim 2017.

“Sudah semestinya saya nak buat best race lap, dekat trek Sepang yang mungkin boleh adalah di Turn 4, 9 dan last corner disebabkan kelajuan jentera semua sama, cuma beza pada breaking, jadi di situ saya kena lebih fokus,” ujarnya yang akan bermula di petak ke-21.

Damok bakal memulakan perlumbaan dalam kelompok 10 pelumba terakhir selepas merakamkan catatan masa 2:13.091s pada sesi Kelayakan 1 pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Penampilan Damok atas tiket wildcard di pentas GP Malaysia kali ini adalah yang keempat pada musim ini selepas dia turut diberikan peluang beraksi dalam saingan GP Portugal, Sepanyol dan Catalunya.

Sementara itu, dua pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar dan Kasma Daniel Kasmayudin yang turut beraksi menerusi tiket wild card akan bermula di barisan terakhir kelas Moto2.

Azroy Hakeem serta Kasma Daniel yang menggalas cabaran bersama pasukan Petronas Mie Racing masing-masing akan bermula di petak ke-28 dan 29.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!