UPSR dikembalikan mungkin manifesto BN pada PRU15

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan akan mengusulkan cadangan daripada seorang guru mengenai Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk dimasukkan ke dalam agenda pendidikan BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, Asyraf berkongsi emel dihantar oleh guru tersebut yang memohon kepadanya untuk mengusulkan supaya UPSR dikembalikan pada masa akan datang dan menjadikan perkara itu sebagai manifesto BN pada PRU15 nanti.

Asyraf turut meminta orang ramai memberi padangan terhadap cadangan yang dikemukakan.

Berikut merupakan e-mel yang dikongsikan:

Assalamualaikum Dr Ketua Pemuda UMNO,

Saya mewakili guru-guru seluruh negara serta juga mewakili Cikgu Fadli Saleh supaya Dr mengusulkan semula kepada kerajaan baharu yang akan dibentuk supaya mengembalikan semula peperiksaan UPSR.

Saya mendapati bahawa pelajar sekolah rendah hilang arah tuju dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang tiada objektif, penilaian agak kabur serta tidak sistematik untuk menilai prestasi pelajar.

Guru agak terbeban dengan PBD yang tidak mengikut aras kefahaman murid dan semata-mata untuk membantu murid melepasi tahap penguasaan walaupun sebaliknya tidak begitu demi kepuasan pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

Jika diadakan sistem peperiksaan UPSR maka pelajar dapat dinilai secara spesifik dan berkesan dan guru tahu dimanakah kelemahan pelajar tersebut. Dengan adanya PBD, pelajar hilang fokus dalam pelajaran dan belajar sambil lewa kerana tiada matlamat untuk mengejar ilmu akademik secara holistik.

Ini akan menjadi parah jika pelajar tersebut sampai ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar tak tahu teknik menjawab soalan dengan betul kerana dibuai mimpi indah pelaksanaan PBD selama 10 tahun.

Saya merayu supaya Dr mengusulkan perkara ini kepada Menteri Pendidikan UMNO yang barharu supaya dapat mengembalikan semula UPSR.

Saya lihat anak-anak saya banyak bermain dan langsung tidak menumpukan kepada pelajaran. Asas pengetahuannya juga agak lemah dengan wujudnya PBD.

Diharap Dr dapat membantu guru-guru seluruh negara dan saya mencadangkan BN memasukkan peperiksaan UPSR ini dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini sedikit sebanyak dapat mengembalikan kegembiraan guru dalam mengajar anak didik di sekolah. Semoga rintihan kami didengari oleh pihak kerajaan.

Pemansuhan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan 3 yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan sekarang telah meruntuhkan sistem pendidikan untuk menilai prestasi murid bagi pemilihan ke asrama penuh kelak.

Di samping itu, harap dapat disemak kembali sukatan pelajaran yang terlalu banyak dan tinggi serta dapat kembalikan zaman kegemilangan BN dengan mewujudkan semula peperiksaan berpusat UPSR demi anak-anak kita semua.

Yang benar, Guru DG52

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!