PRU15: Warga Felda perlu hantar wakil ke Parlimen
SHAH ALAM - Warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu mengambil peluang menghantar seramai mungkin generasinya untuk menjadi wakil di Parlimen bagi memastikan proses pemulihan dan pembelaan golongan itu terjamin.
Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Rauzan Esa mahu semua warga Felda yang berdaftar dan layak untuk mengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus memastikan calon yang dipilih adalah dalam kalangan warga peneroka.
Ia berikutan jelasnya, proses pemulihan Felda seperti mengembalikan FGV Holdings Berhad (FGV) kepada lembaga itu masih panjang dan terdapat beberapa perkara penting yang masih belum terlaksana.
“Ia memerlukan kuasa Parlimen bagi menjayakan pemulihan yang dirancang. Isu-isu asas lain seperti perwarisan, pengurusan ladang dan pengurusan penyata kewangan perlu kuasa dan suara di Parlimen untuk diselesaikan.
“Dengan pertambahan generasi demi generasi, satu model yang lestari perlu diwujudkan agar Felda kekal sebagai satu komuniti yang berasaskan komoditi,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu Rauzan berkata, sudah tiba masanya warga Felda menggunakan kuasa politik dan demokrasi berparlimen untuk menentukan masa depan mereka sendiri selepas 66 tahun lembaga itu ditubuhkan.
Menurutnya, pengundi Felda telah menjadi satu segmen atau kelompok pengundi luar bandar yang mudah untuk dijadikan fokus bagi meraih undi.
“Dengan mempunyai 317 rancangan, 273 Pusat Daerah Mengundi dan lebih 1.5 juta pengundi, kawasan Parlimen yang mempunyai rancangan Felda akan menjadi perhatian oleh mana-mana pihak bertanding kerana mampu menjadi penentu kerusi untuk sesebuah parti membentuk kerajaan.
“Setiap undi yang diberi mestilah semata-mata untuk memastikan calon adalah dari generasinya dan mampu untuk membawa suara di Parlimen sama ada menjadi kerajaan mahupun sebaliknya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!