GP Malaysia: Martin lebur rekod Quartararo

Jorge Martin ketika sesi kelayakan kedua MotoGP 2022, di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Bernama
Jorge Martin ketika sesi kelayakan kedua MotoGP 2022, di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA Sepanyol, Jorge Martin mencetuskan sensasi apabila meleburkan rekod sepusingan terpantas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk meraih petak pertama kelas MotoGP pada saingan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pada Sabtu.

Pelumba Prima Pramac berusia 24 tahun itu muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan dengan melakukan catatan satu minit dan 57.790 saat (s) manakala tiga pencabar gelaran dunia -- pendahulu keseluruhan. Francesco Bagnaia, Fabio Quartararo dan Alex Espargaro gagal menamatkan sesi dalam kelompok tiga pelumba terbaik.

Martin memecahkan rekod 1:58.303s dipegang oleh pelumba Perancis, Quartararo, pada 2019.

Pelumba Itali, Enea Bastianini (Gresini Racing MotoGP), berada di petak kedua dengan masa 1:58.246s manakala petak ketiga menjadi milik pelumba Sepanyol, yang juga juara dunia enam kali, Marc Marquez (Repsol Honda) dengan catatan catatan masa sepusingan terpantas 1:58.454s.

Pada masa sama, perebutan gelaran dunia kekal sengit dengan tiga pelumba utama dalam senarai kedudukan keseluruhan gagal mencipta masa terbaik yang menyaksikan pelumba Ducati Lenovo, Bagnaia terpaksa bermula di petak kesembilan dengan catatan masa 1:58.862s

Bagnaia, pendahulu MotoGP dengan 233 mata, kelihatan akan memadamkan rekod pencapaian Martin selepas muncul pelumba terpantas pada sektor pertama tetapi mengalami detik cemas pada kelayakan 2 apabila terjatuh di selekoh empat ketika sesi hanya berbaki tiga minit.

Bagnaia boleh merangkul gelaran dunia buat julung kali jika menang perlumbaaan di Sepang, seandainya juara bertahan, Quartararo gagal menaiki podium di sini.

Quartararo, pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, ketinggalan 14 mata di belakang Bagnaia, meraih petak ke-12 dengan masa 2:00.543s manakala pelumba Sepanyol, Espargaro (Aprilia Racing), dengan 206 mata, akan memulakan perlumbaan Sepang di petak ke-10 selepas merekodkan catatan masa terpantas 1:58.862s.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kelas Moto2, pelumba IDEMITSU Honda Team Asia, Ai Ogura, mengukuhkan peluang sebagai pendahulu carta kedudukan keseluruhan apabila menyambar petak pertama buat kali ketiga bagi musim ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu melengkapkan sesi kelayakan dengan catatan terpantas masa sepusingan 2:06.405s manakala pelumba Itali, Tony Arbolino (Elf Marc VDS Racing Team), meraih petak kedua dengan 2:06.652s.

Ogura ketika ini sedang mendahului carta pelumba Moto2 dengan 242 mata manakala Augusto Fernandez (Red Bull KTM Ajo) mengekori rapat di tangga kedua (238.5 mata) manakala Aron Canet (Flexbox HOP40) di tangga ketiga dengan192 mata. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!