Insiden provokasi: Muda akan buat laporan polis

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

MUAR - Seramai 30 individu yang memakai 'hoodie' dan pelitup muka telah membuat provokasi sewaktu program Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor yang berlangsung di Dewan Yong Sheng di sini pada kira-kira 9.30 malam Sabtu.

Pengerusi Muda Johor, Azrol Rahani berkata, kumpulan terbabit bertindak membaling botol, menolak sukarelawan dan anggota Muda, membaling mercun, menendang dan merosakkan kenderaan.

"Kumpulan ini telah datang ke majlis kutipan dana Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan menjerit dan meminta kami berhenti dan meninggalkan dewan tersebut.

"Kesemua mereka yang mengenakan 'hoodie' dan memakai pelitup muka. Bagaimanapun kami sempat merakam gambar mereka untuk diserahkan kepada pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Azrol, tiada yang dilaporkan cedera dalam insiden kekecohan yang berlaku itu.

"Muda sekali lagi akan membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan yang berlaku ini.

"Segala bukti yang kami ada supaya akan diberikan kepada polis bagi membolehkan siasatan dilakukan. Dalang politik kotor ini mesti ditangkap! Ini negara demokrasi," katanya.

Dua klip video berdurasi 15 dan 46 saat yang dimuat naik Syed Saddiq menunjukkan sekumpulan lelaki berbaju hitam memakai pelitup hidung dan mulut melaungkan perkataan 'balik' sebagai provokasi terhadap tetamu yang hadir pada program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Oktober lalu, ceramah Muda di Muar, dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki berbaju hitam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!