Polis bantuan maut, kereta bertembung bas
GUA MUSANG - Seorang polis bantuan maut selepas Proton Persona yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas di jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Ahad.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang berusia 20 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa dipercayai telah memotong beberapa buah kenderaan.
"Tindakan itu menyebabkan kereta tersebut telah bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.
"Semasa kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari bandar Gua Musang hendak pulang ke rumahnya di Chiku 2," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Choon Foo berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!