PRU15: Agihan kerusi PH Terengganu sama rata

Raja Bahrin
Raja Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) Terengganu akan membahagikan lapan kerusi Parlimen negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara sama rata antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Amanah akan bertanding di empat Parlimen iaitu Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Besut manakala PKR pula bertanding di Kemaman, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu.

Menurutnya, senarai calon di lapan kerusi tersebut sedang dalam penelitian kepimpinan tertinggi PH dan dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat sebelum hari penamaan calon pada 5 November nanti.

"Hanya beberapa kerusi telah diumumkan awal calonnya termasuk Parlimen Marang yang akan mempertaruhkan Ustaz Azhar Abdul Shukur," katanya pemberita selepas melancarkan jentera PRU15 PH Kuala Terengganu di sini pada malam Sabtu.

Raja Kamarul Bahrin yang sebelum ini bertanding di Parlimen Kuala Terengganu atas tiket PH turut mengesahkan akan terus berjuang di kerusi tersebut kali ini jika diberi kepercayaan oleh parti.

"Insya-ALLAH kalau diberi kepercayaan dan sokongan parti saya akan bertanding di sini (Parlimen Kuala Terengganu)," katanya.

Ditanya mengenai sasaran kemenangan pula, beliau berkata, PH Terengganu menyasarkan tiga atau empat Parlimen terutama di kawasan bandar yang kebanyakan pengundinya adalah orang muda, celik maklumat dan berpendidikan.

Antara kawasan tersebut adalah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman atau Dungun yang mempunyai banyak Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kawasan pedalaman, agak sukar untuk kita tembusi kerana maklumat susah sampai di sana," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!