PRU15: Pemimpin Muda tiba di Ibu Pejabat PKR
PETALING JAYA - Pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tiba di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, sebentar tadi dipercayai bagi menghadiri pertemuan dengan Jawatankuasa Rundingan Pakatan Harapan (PH).
Antara pemimpin Muda yang dilihat hadir adalah Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz, Ketua Penerangan, Luqman Long dan beberapa individu lain.
Sinar Harian difahamkan pertemuan berkenaan akan membincangkan mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi gabungan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pada 12 Oktober lalu, Mesyuarat Majlis Presiden PH setuju menjalin kerjasama dengan Muda bagi menghadapi PRU15 nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat yang berlangsung pada Rabu.
Bagaimanapun jelasnya, permohonan parti yang diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu untuk menganggotai PH secara rasmi mungkin tidak sempat diproses.
Ini kerana katanya, ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), manakala tarikh PRU15 dijangka tidak lama lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!