70 penunggang motosikal disaman
PETALING JAYA - Tidak memiliki lesen memandu selain tidak memakai topi keledar antara kesalahan dikesan dilakukan segelintir penunggang motosikal yang ditahan menerusi Op Samseng Jalanan di PJS 5/28 di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu menjalankan pemeriksaan ke atas 88 individu terdiri daripada pengguna jalan raya.
"Seramai 77 penunggang motosikal dikesan melakukan pelbagai kesalahan trafik seperti tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu dan mengubahsuai struktur kenderaan.
"Selain itu, pemeriksaan terhadap penunggang motosikal yang ditahan turut mendapati mereka melakukan kesalahan antaranya tiada cermin sisi pandang belakang, ubahsuai ekzos, tiada perlindungan Insurans dan lesen kenderaan tamat tempoh," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, sejumlah 70 saman dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan lalu lintas yang dikesan.
"Operasi sama turut menyita 18 buah motosikal di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurutnya, operasi akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!