‘Jangan kerap label pihak lain dengan gelaran’
SHAH ALAM - "Jangan kerap melabel pihak lain dengan gelaran negatif kerana berasa diri terlalu suci murni," kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, tindakan memberi gelaran itu didakwa berterusan sehingga UMNO atau BN yang enggan memenuhi faedah 'parti politik ' tersebut turut digelar sebagai haiwan dan seumpamanya.
“Parti yang memandang rendah BN dengan gelaran haiwan dan tumbuhan melenting apabila mendengar istilah `pak lebai'.
“Sedangkan mereka sendiri tidak suka dikaitkan dengan sesuatu gelaran walaupun hanya `pak lebai'.
“Gunakan politik untuk memperkuatkan agama, bukan menggunakan agama untuk memperkuatkan politik,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu berkata, istilah ‘pak lebai’ dalam konteks politik bukan dicipta olehnya sebaliknya dipopularkan oleh sahabat baru parti itu.
“Pada tahun 2017 ia (gelaran pak lebai) mula dipopularkan oleh bekas Timbalan Presiden PKR merangkap bekas Menteri Besar Selangor.
“Beliau kini merupakan Pengarah Pilihan Raya gabungan PN (Perikatan Nasional) yang pemimpin Pas sedang tumpahkan taat setia.
“Jadi seharusnya pemimpin Pas bertanya kepada pengarah pilihan raya gabungan baharu mereka mengenai istilah `pak lebai',” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!