Amanah calonkan Khalid di Titiwangsa

Dari kiri: Asmuni Awi dan Khalid Abdul Samad
Dari kiri: Asmuni Awi dan Khalid Abdul Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Amanah Negara (Amanah) mencalonkan Khalid Abdul Samad di Parlimen Titiwangsa merupakan pengorbanan yang luar biasa.

Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Asmuni Awi berkata, meninggalkan Shah Alam bukan keputusan mudah apatah lagi Parlimen tersebut telah dikuasai Khalid selama tiga penggal dan pada pilihan raya umum yang lalu beliau memperoleh majoriti 33,849 menunjukkan kepimpinannya diterima semua pihak.

“Titiwangsa bakal menjadi percaturan sengit kepada Khalid. Beliau akan mempertaruhkan rekod cemerlangnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan untuk memastikan Titiwangsa kekal sebagai Wilayah Harapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, banyak lagi percaturan berisiko tetapi berstrategi tinggi akan diambil oleh Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan pengundi seluruh negara turun mengundi pada 19 November dengan keyakinan dan doa untuk membentuk sebuah kerajaan Persekutuan baharu.

“Hapuskan rasuah akan menjadi tekad utama PH, menyediakan peluang pekerjaan bermutu dan terjamin kepada anak tempatan adalah hasrat PH selain memulihkan imej negara melalui kestabilan politik dan ekonomi yang kukuh merupakan iltizam seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan luar biasa penganjuran Konvensyen Pakatan Harapan pada 20 November lalu telah menyuntik semangat dan motivasi yang tinggi kepada pimpinan serta pendukung PH sekaligus menandakan kesiap-siagaan untuk menghadapi PRU.

“Umum maklum bahawa PRU kali ini akan berlangsung dalam suasana tidak menentu pada musim tengkujuh sekali gus berisiko kadar turun mengundi rendah.

“Tetapi gendang telah dipalu, tiada pilihan untuk PH menyelamatkan tanah air dan rakyat negara ini melainkan berjuang dengan tekad tinggi untuk menang serta menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Amanah Perak itu turut mengakui pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Tambun memang mencabar dan berisiko.

“Tetapi pada masa yang sama, keputusan itu telah meletakkan PH untuk berjuang semaksimumnya untuk memastikan kemenangan rakyat diperoleh pada 19 November nanti,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!